Hiburan

Tayangan dan apresiasi filem meriahkan Festival Filem Malaysia Ke-33

MENJELANG penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) yang akan berlangsung pada 7 Disember 2024, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menganjurkan program Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem selama lima hari, bermula pada 2 Disember hingga 6 Disember 2024.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh FINAS, program ini melibatkan tayangan filem-filem yang tercalon dalam kategori Filem Terbaik bagi FFM33.

“Tujuan utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat umum yang berminat untuk mengikuti sesi tayangan serta berpartisipasi dalam apresiasi filem, dengan perkongsian idea dan pendapat mengenai filem secara ilmiah bersama ahli panel yang berpengalaman,” jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mempromosikan dan meningkatkan publisiti FFM33 di kalangan penggiat industri tempatan dan antarabangsa.

Antara filem yang akan ditayangkan adalah Duan Nago Bogho, Imaginur, Mechamato Movie, Hungry Ghost Diner, dan Rain Town.

Program Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem ini diadakan setiap tahun sebagai salah satu acara sisipan sempena Festival Filem Malaysia.

Sesi tayangan ini terbuka kepada orang ramai dan tidak dikenakan sebarang bayaran. Menurut FINAS, setiap sesi akan dimulakan dengan tayangan filem pada pukul 8.00 malam di Hall 8, GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, diikuti dengan sesi apresiasi filem yang akan dihadiri oleh moderator dan panel-panel, serta disertai oleh penonton yang hadir.

Pihak FINAS juga mengingatkan agar orang ramai membuat pendaftaran awal kerana setiap sesi tayangan dan apresiasi hanya terbuka kepada 100 orang sahaja. Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan berikut: https://forms.gle/rwL63GvGEMY4UqUVA atau dengan mengimbas QR Code yang tertera.

Setelah pendaftaran, peserta diminta untuk hadir di kaunter urusetia di pintu masuk pawagam dengan membawa notifikasi yang diterima melalui emel pendaftaran.

Selain itu, FINAS juga akan mengadakan tayangan umum filem-filem yang bertanding dalam FFM33 secara percuma. Tayangan ini akan berlangsung dari 30 November hingga 6 Disember 2024 di pawagam GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Pada 1 Disember 2024, tayangan akan diadakan di GSC Imago Kota Kinabalu, Sabah, dan GSC Spring Mall, Kuching, Sarawak.

Dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan, Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem ini diharapkan dapat memberi platform kepada masyarakat untuk lebih mendalami dunia filem tempatan serta memeriahkan FFM33.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button