Tahniah Utusan dan Kosmo!
SELEPAS kira-kira 10 bulan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kembali. Hari ini menyaksikan pelancaran kedua-dua akhbar berkenaan.
Pelancaran secara dalam talian melalui Facebook Utusan Online diadakan sejak pukul 9 pagi dan penerbitan akhbar akan bermula pada 20 Julai atau Isnin ini.
Akhbar diterbitkan oleh Media Mulia dijangka membawa pemikiran baharu dan memaparkan laporan yang lebih berimbang.
Daripada komen para pelayar orang ramai jelas tidak sabar untuk kembali merangkul kedua-dua akhbar yang pernah memainkan peranan utama di dalam dunia surat perkhabaran di negara ini.
Utusan Malaysia dan Kosmo! memegang ranking akhbar nombor satu serta terkenal dengan perjuangan dan menjadi penyambung lidah rakyat.
Bagaimanapun perkembangan semasa menyaksikan industri persuratkhabaran dunia semakin suram dan ini telah turut menjejaskan dua akhbar berbahasa Melayu itu.
Untuk ke hadapan kedua-dua akhbar perlu tampil lebih segar dan melaksanakan model perniagaan yang lebih mampan bagi mendepani cabaran semasa.
Selain pemberitaan, media juga perlu memikirkan aspek komersial bagi memastikan ia terus relevan dan mampu menghasilkan produk dengan kos minimum.
Apapun sebagai portal yang dianggotai bekas kakitangan Utusan, Suara Merdeka mengucapkan tahniah di atas kembalinya Utusan dan Kosmo! – SM