Syed Sirajuddin Areeb Putra wakil ayahanda, Raja Muda santuni asnaf
ANAKANDA bongsu Raja Muda Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan berangkat mewakili ayahanda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menyempurnakan majlis penyerahan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid At-Taqwa, Alor Redis, Kangar.
Sumbangan kali ini melibatkan 70 asnaf dari anak kariah Alor Redis dan 70 lagi dari Padang Behor yang bertujuan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan di negeri ini.
Setiap asnaf menerima bantuan wang tunai RM700 dengan agihan MAIPs kali ini berjumlah RM98,000.
Selain itu para asnaf juga menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma selain mendengar ceramah oleh MAIPs bertajuk ‘Bangun Jiwa Asnaf’.
Selepas program di masjid tersebut, Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan meluangkan masa berangkat singgah di kediaman Tombi Ya’asun Saad, 54 dari Kampung Guar Syed Alwi, Ramlah Ishak, 61 dan Abd Ghafar Abdul Halim, 52 dari Kampung Alor Redis bagi menyerahkan sendiri bantuan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli berisi bahan makanan mentah dan juga beras fidyah.
Raja Muda mewakilkan Syed Sirajuddin Areeb Putra ke program tersebut kerana menghadiri majlis pengebumian adinda ipar Baginda iaitu Allahyarham Datuk Paduka Mohammad Yaacob Datuk Seri Azizul Hassan, 58 yang merupakan suami kepada Tengku Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Hajah Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.26 pagi akibat komplikasi buah pinggang di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar pada hari yang sama.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah perutusan yang disampaikan melalui pegawai MAIPs bagi pihak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah sehingga ke pengebumian.
Juga kepada yang datang dari jauh dan dekat bagi menziarah baik di HTF, Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar dan Makam DiRaja Arau.
Baginda memohon supaya sama-samalah mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kepada Allahyarham kedudukan yang mulia bersama para Anbiya’, Auliya’, Siddiqin dan Salihin. – SM