Teater

“Surat Dari Rafah”, teater kesedaran tentang tragedi Palestin

SURAT Dari Rafah merupakan sebuah pementasan teater yang diusahakan oleh Persatuan Bina Seni Budaya (PERSENI) dan FullStag Artelier dengan sokongan penuh daripada Komuniti Dakwah Tarbiah serta Bumi Mikraj. Inisiatif ini bertujuan menjadikan seni persembahan sebagai wahana untuk menyampaikan kesedaran kepada masyarakat mengenai realiti yang dihadapi rakyat Palestin.

Sejak 7 Oktober 2023, Palestin telah melalui fasa perang berpanjangan akibat serangan berterusan oleh rejim Zionis. Serangan ke atas kawasan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan membuktikan bahawa konflik ini bukan sekadar perebutan wilayah, tetapi satu bentuk genosid yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Surat Dari Rafah”: Menyelami Derita Palestin Melalui Seni Teater

Lebih setahun perang berlangsung, dunia semakin membuka mata terhadap penderitaan rakyat Palestin. Maklumat yang disebarkan melalui media sosial mendedahkan tindakan Israel yang menyasarkan hospital, kem pelarian, serta kawasan kediaman, mengorbankan ribuan nyawa termasuk wanita, kanak-kanak, dan warga tua. Serangan ke atas pasukan perubatan dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan menjadikan konflik ini semakin parah dan berpanjangan.

Pada 19 Januari 2025, pengumuman gencatan senjata memberikan harapan kepada rakyat Palestin dan masyarakat dunia. Namun, harapan itu musnah apabila hanya sehari selepas pengumuman dibuat, Israel kembali melancarkan serangan dan menindas rakyat Palestin tanpa belas kasihan.

Melalui pementasan ini, pihak produksi dan penaja ingin mengajak masyarakat untuk terus memberi perhatian terhadap isu ini. Kezaliman yang berlarutan ini tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja.

Dalam masa yang sama, Surat Dari Rafah turut menyoroti sejarah panjang konflik Palestin-Israel yang telah berlarutan lebih tujuh dekad. Dengan mengetengahkan kisah berlatarkan kekeluargaan, persahabatan, serta kepentingan ilmu, pementasan ini diharapkan dapat membuka minda penonton serta memberi kesan yang mendalam.

Pengarah Teater, Srikandi Emma bersama wakil PERSENI, Mohd Firdaus

Pihak produksi dan penaja juga menjemput rakan-rakan media untuk menghadiri sesi preview pementasan yang akan diadakan dari 14 hingga 16 Februari 2025 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Semoga kehadiran anda bukan sahaja dapat menyemarakkan kempen solidariti untuk Palestin, tetapi juga memberi pengalaman teater yang penuh makna dan emosi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button