PELAJAR Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menginap di penempatan berpusat di kampus UniMAP antara yang bertuah apabila menerima sumbangan McDonald berupa 600 pek McChicken dan minuman.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh wakil McDonald’s Malaysia, Teh Hui Lam bersama enam pekerja restoran makanan segera terkenal itu di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah (KKTTF) di Arau, semalam.
Naib Canselor UniMAP Prof. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, pengurusan universiti sentiasa berusaha bagi mencari dana dan sumbangan bagi memastikan pelajar UniMAP yang menginap di penempatan berpusat berkenaan sentiasa dalam keadaan yang selesa.
Ujarnya, beliau dan pengurusan universiti amat mengalu-alukan sumbangan McDonald’s Malaysia itu.
Katanya, ia sudah pasti membawa keceriaan kepada anak-anak pelajar UniMAP yang tidak pulang ke kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac lalu.
“Saya sangat berbesar hati di atas sumbangan ini terutama kini kita semua berada dalam keadaan yang berjaga-jaga menangani wabak Covid-19 daripada terus menular, “ kata beliau.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Mohd Foad Sakdan, Pengetua KKTTF Kartini Alir, Yang Dipertua MPP, Syahirunnisa Ramli dan petugas bencana MPP dan MPKK.
Sementara itu, seorang pelajar Kejuruteraan Komputer, Nor Atiqah Affendi ,23, berkata, dia bersama rakan-rakan yang tidak pulang ke kampung berada dalam keadaan selesa di penempatan berpusat itu kerana makanan disediakan dan ditanggung sepenuhnya.
“Saya mewakili semua pelajar ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengurusan universiti kerana sentiasa membantu mencari dana dan sumbangan bagi menampung keperluan bekalan makanan serta keperluan asas kepada kami.
“Hari ini juga kami berasa sangat bertuah serta teruja kerana Program Khidmat Masyarakat (CSR) McDonald’s ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada kami, pelajar UniMAP yang berkampung di kolej kediaman ini sejak PKP dikuatkuasakan, “ katanya ketika ditemui, di sini,
Terdahulu, bagi menguruskan lebih 750 pelajar yang menginap di penempatan berpusat di dalam kampus ketika PKP ini, aplikasi kod QR atau kod respon pantas dimanfaatkan sebaiknya oleh UniMAP.
Kod QR berkenaan yang dibangunkan di dalam setiap Maklumat Pelajar Atas Talian (OSI) mempunyai maklumat peribadi setiap pelajar yang menuntut di universiti yang berteraskan kejuruteraan itu.
Dr Mohd Fo’ad berkata, kod QR itu perlu diimbas bagi mendapatkan bilangan pelajar yang mengambil makanan selain menjaga keselamatan pelajar.
Ujarnya, dengan cara itu petugas bencana yang terdiri daripada staf dan 15 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) dapat memperolehi jumlah yang tepat dan pembahagian makanan dapat dilakukan dengan pantas.
“Walaubagaimanapun mereka perlu mendaftar terlebih dahulu di dalam pengkalan data yang dibangunkan khas ketika tempoh PKP di mana mereka perlu berada di dalam Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman, di sini,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.
Penyediaan makanan percuma tiga kali sehari merupakan salah satu inisiatif UniMAP sepanjang PKP selain melakukan saringan kesihatan tiga hari sekali kepada pelajar yang menginap di dalam kampus.
Tambah Dr. Mohd Fo’ad, saringan kesihatan tiga hari sekali juga dilakukan bagi memastikan tahap kesihatan pelajar berada dalam keadaan yang baik dan sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan Covid-19.
“Ia dilakukan oleh petugas Pusat Kesihatan Universiti dengan berkunjung dari bilik ke bilik dan juga dilaksanakan sebelum pelajar mengambil makanan di kafeteria dengan merujuk senarai yang dikumpulkan daripada imbasan kod QR berkenaan,” kata beliau. – SM