Sukma Johor 2020 ditangguhkan ke 2022
Sepatutnya berlangsung pada tahun depan, tetapi dibatalkan
GARA-GARA pandemik Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda penyusutan, Sukan Malaysia (Sukma) 2020 ke-20 yang telah dianjak ke tahun depan sekali lagi terpaksa dibatalkan dan ditukar pula ke satu tarikh baru iaitu pada 2022.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma tersebut dibuat setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pelbagai faktor akibat kesan pandemik.
“Selain itu, kita mengambil kira juga persiapan atlet serta pasukan negeri yang menyertai temasya, persiapan penganjuran yang terbaik dan pandangan pihak berkuasa serta Kerajaan Negeri.
“Apa yang paling penting ialah keputusan ini dilakukan di atas dasar kepentingan kesihatan, kesejahteraan dan kebaikan semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh kementerian di sini, hari ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Reezal sendiri, hari ini, secara dalam talian telah mendapat status terkini penganjuran temasya tersebut termasuk Sukan Para Sukma daripada Sekretariat Sukma Johor 2020.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan semua wakil negeri yang terlibat termasuk Kerajaan Negeri Johor.
Menurut Reezal, mesyuarat tersebut telah diberi taklimat mengenai status pengelolaan Sukma dan Para Sukma Johor oleh sekretariat temasya, namun, Kerajaan Negeri Johor telah memohon supaya penganjuran kedua-dua temasya berkenaan yang dijadualkan pada Mac serta April 2021 ditangguhkan sekali lagi.
Jelasnya, antara sebab sehingga mendorong tuan rumah berbuat demikian ialah ketidaktentuan dalam penularan wabak pandemik yang telah memasuki gelombang ketiga melanda negara pada ketika ini.
“Kesukaran menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang akan terlibat nanti baik atlet, jurulatih, pegawai, sukarelawan, pihak pengurusan dan sebagainya dengan tidak mengambil kira penonton serta peminat sukan.
“Dua kali penangguhan sebelum ini juga telah menyebabkan peningkatan kos pengurusan dan ketidaktentuan tarikh temasya yang memberi tekanan serta kekangan kepada perlaksanaan program latihan atlet,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kalendar beberapa kejohanan serta temasya tempatan dan antarabangsa pada 2021 juga terlalu rapat dengan tarikh penting seperti Ramadhan (13 April – 12 Mei 2021), Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun – 11 Julai 2021), Sukan Olimpik Tokyo 2020 (23 Julai – 8 Ogos 2021) dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (24 Ogos – 5 September 2021).
Bagaimanapun, tambah Reezal, pada masa sama, Kerajaan Negeri Johor telah melahirkan kesediaan mereka untuk menganjurkan Sukma dan Sukan Para Sukma ke-20 pada 2022 kerana secara amnya Johor hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal, kemudahan pertandingan dan sebagainya.
Justeru, katanya, Jawatankuasa Tertinggi Sukma/Para Sukma yang bermesyuarat, hari ini, telah membuat ketetapan secara bersama untuk menangguhkan sahaja penganjuran kedua-dua temasya itu dengan Johor masih kekal selaku tuan rumah.
Dalam pada itu, Reezal berkata, tuan rumah Sukma dan Para Sukma ke-21 pada 2024 akan kembali kepada Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkannya bersama Selangor atau Wilayah Persekutuan selaras dengan persetujuan bahawa negeri-negeri lain hanya menjadi tuan rumah dalam penggiliran empat tahun sekali.
“Kita juga bersetuju tuan rumah temasya 2026 akan dianjurkan Kelantan dan ia telah dipersetujui oleh wakil Kerajaan Negeri, sebentar tadi,” jelasnya. – SM