
SPRM tahan wartawan tempatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wartawan sebuah portal tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah, pada Jumaat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan dibuat di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira jam 11 malam.
“Penahanan dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, bukannya mengenai laporan berita pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dipercayai wartawan berkenaan meminta sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan sejumlah RM20,000 untuk tidak mengeluarkan artikel berhubung isu penyeludupan PATI,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Difahamkan, wartawan lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu untuk proses reman. Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan, B Nantha Kumar, ditahan lewat malam tadi berkaitan artikel mengenai dakwaan kumpulan kartel Pakistan menyeludup pekerja asing ke Malaysia.
Seorang pegawai yang mendakwa dari SPRM memberitahu portal berita ini bahawa Nantha Kumar akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk prosedur reman pagi ini.
Pegawai itu juga menolak permintaan Malaysiakini untuk bercakap dengan wartawan tersebut.
Pada 22 Feb, Malaysiakini memetik sumber yang mendakwa bekas pegawai imigresen, yang kini bergelar “Datuk”, sebagai dalang di sebalik kumpulan kartel yang didakwa beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – SM