Politik

Solidariti Najib selaras kenyataan istana, kata Annuar Musa

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui program bersolidariti bersamanya adalah amat selaras dan tidak bercanggah dengan kenyataan media Istana Negara baru-baru ini.

Annuar berkata, ada pihak yang terlalu takut apabila kelihatan parti-parti politik orang Melayu dan bumiputera sepakat dan bersatu kerana hayat mereka itu bergantung kepada kejayaan memecah belahkan perpaduan Melayu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, isu sebenar cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu adalah titah dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak ditunaikan.

“Sepatutnya UMNO yang berada di saf depan dalam isu ini, membela kemuliaan dan kedaulatan Raja-raja dan institusi Yang di-Pertuan Agong serta tidak mengizinkan kuasa prerogatif Baginda tercabar atau terhakis dengan apa jua alasan,” ujarnya di media sosial.

Annuar melahirkan rasa simpati terhadap segelintir pemimpin UMNOyang kini terpaksa mengubah sikap politiknya, dari bersolidariti dengan Najib kepada bersolidariti dengan DAP dan PKR yang sejak awal menentang bekas Perdana Menteri itu.

Related Articles

Beliau berkata, perubahan pendirian UMNO itu tidak dapat dielakkan kerana parti itu kini hanya menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri dari luar Umno, dengan didukung oleh DAP dan PKR. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button