Uncategorized

Siti kenang pesanan arwah ayah ibarat seperti bunga Melur

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, meluahkan rasa syukur atas penganugerahan gelaran Biduanita Negara yang diterimanya. Siti, atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, turut menyampaikan penghargaan kepada pihak kerajaan yang memberikan pengiktirafan ini kepadanya.

Datuk Seri Siti Nurhaliza Terima Anugerah Biduanita Negara, Luahkan Kesyukuran

Menurut Siti, anugerah tersebut bukan sekadar penghormatan terhadap perjalanan seninya tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk terus mengangkat martabat muzik dan budaya Malaysia.

“Dengan penuh kesyukuran dan rendah hati, saya menerima gelaran Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 ini. Penghargaan mendalam buat kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi atas anugerah berharga ini,” katanya.

Siti melihat anugerah ini sebagai simbol penghormatan kepada semua insan seni yang tidak jemu memperjuangkan keindahan seni tanah air. “Anugerah ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi lambang penghargaan kepada mereka yang terus berjuang demi budaya dan muzik tempatan. Amanah ini adalah tanggungjawab besar untuk saya memartabatkan seni dan budaya, khususnya dalam muzik, agar terus berkembang dan cemerlang.”

Dalam pada itu, Siti turut menyatakan rasa syukurnya kerana dianugerahkan bakat yang memberi manfaat kepada masyarakat dalam menyebarkan nilai positif dan inspirasi.

“Segala kesyukuran saya panjatkan kepada Allah SWT atas anugerah bakat ini yang memungkinkan saya untuk menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi yang baik. Seni adalah medium yang menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa mahupun negara,” ujarnya.

Siti juga bertekad untuk terus menyumbang dalam memastikan seni dan budaya negara dihormati, dijaga, dan dihargai. “Saya berjanji untuk berusaha lebih keras bagi mengekalkan seni budaya kita, kerana inilah warisan yang perlu dipelihara untuk generasi masa depan.”

Mengimbas kembali, Siti turut teringat kata-kata arwah ayahnya, Haji Tarudin Ismail, yang selalu mengibaratkan dirinya seperti bunga melur. Kata-kata tersebut menjadi kenangan yang cukup bermakna bagi Siti, yang menggambarkan dirinya sebagai seorang yang sederhana namun tetap memikat.

“Ia seolah-olah seperti bait dalam lagu kegemaran arwah ayah, ‘Bunga Melur’: ‘Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana… Walau kering tak bercahaya bunga melur… Baumu memikat jiwa…’ Saya selalu mengingatkan diri bahawa setiap kejayaan ini adalah hasil doa dan sokongan dari semua yang telah menjadi tulang belakang kerjaya saya selama 29 tahun,” ujarnya.

Siti tidak lupa merakamkan penghargaan tulus kepada mereka yang telah banyak berjasa dalam perjalanan seninya, termasuk suami, anak-anak, ibu, arwah ayah, serta keluarga dan pasukan pengurusan.

Beliau juga berterima kasih kepada syarikat rakaman, penerbit, komposer, dan penulis lirik yang pernah bekerjasama dengannya, serta sahabat media yang sentiasa menyokong karier seninya selama ini.

“Buat peminat-peminat dan pencinta muzik yang setia, anda semua adalah sebab saya mampu berdiri di sini hari ini. Semoga penganugerahan ini menjadi inspirasi buat saya untuk terus berkarya dan membawa muzik Malaysia ke persada lebih tinggi,” tambahnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button