Jenayah

Sindiket pelacuran didalangi ‘Mummy’ Indonesia tumpas – Imigresen

Satu sindiket pelacuran didalangi seorang wanita warganegara Indonesia yang digelar sebagai “Mummy”, berjaya ditumpaskan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 9 Feb lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi pada 11.30 malam itu, tiga premis pusat hiburan dan rumah transit di Selangor serta Kuala Lumpur diserbu dan 36 orang ditahan.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur antara 18 tahun dan 34 tahun itu, terdiri daripada 27 wanita Indonesia, dua wanita Vietnam, empat wanita Thailand dan seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pelanggan, serta dua lelaki tempatan penjaga premis.

“Hasil daripada risikan mendapati wanita yang digelar sebagai “Mummy” itu berperanan menjaga dan menguruskan wanita warga asing menjalankan aktiviti pelacuran di beberapa premis hiburan.

“Hasil daripada aktiviti pelacuran ini, sindiket tersebut berjaya mengaut keuntungan dianggarkan lebih RM2.8 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata turut dikesan ada antaranya menggunakan Pas Lawatan Sosial (Pasangan Kepada Warganegara), Pas Lawatan Sosial (Pengiring Kepada Pesakit), Pas Penggajian sebagai terapi spa, dan memiliki dokumen (Akuan Penerimaan) bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurutnya semakan juga mendapati terdapat Cap Pas Lawatan Sosial (PLS) yang disyaki palsu dimiliki warga asing tersebut.

“Kesemua diperiksa dan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata kesemua tahanan warganegara asing ditahan di Depoh Imigresen Semenyih dan dua suspek warga tempatan ditahan untuk siasatan di bawah akta yang sama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button