Agama

Sikap malas berusaha melemahkan umat Islam – Raja Muda Perlis

Sikap suka berpeluk tubuh, malas berusaha, dan terlalu bergantung kepada bantuan orang lain melemahkan potensi diri dan bertentangan dengan ajaran Islam, yang mendorong umatnya menjadi produktif dan berdikari.

Konsep ‘Ummatul ‘Amal’ menekankan pentingnya bekerja keras dan berusaha untuk mencapai kejayaan serta keberkatan hidup.

Bagi yang sihat tubuh badan dan masih berkemampuan, usaha yang dilakukan dengan niat yang betul adalah satu bentuk ibadah, yang bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup tetapi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Oleh itu, masyarakat diajak untuk bersama-sama meninggalkan sikap bergantung kepada orang lain dan gantikan dengan semangat berdikari demi keberkatan di dunia dan akhirat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program Hijrah Minda yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh dekat Kangar baru-baru ini.

Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian bantuan agihan zakat MAIPs kepada 20 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Repoh yang menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sebanyak RM14,000 pada kali ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button