NasionalNegeri

Sidang DUN Perlis lulus usul kutuk kekejaman rejim Israel

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini menyaksikan usul mengutuk kekejaman rejim Israel melakukan jenayah dunia serta penindasan terhadap rakyat Palestin diluluskan.

Semua ahli dewan menyokong penuh terhadap usul ini.

Mohd Shukri ketika membawa usul mengutuk kekejaman rejim Israel pada Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 di Kompleks DUN hari ini.

Malah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli semasa dalam usulnya itu juga mencadangkan supaya tiada sebarang program hiburan berbentuk nyanyian dan tarian melalaikan sewaktu ambang tahun baharu ini di Perlis.

“Ini menunjukkan kita serius dan terus menyokong bersolidariti kepada rakyat Palestin,” katanya.

Beliau ketika membacakan usul berkata, jenayah ini sudah berlarutan sekian lama dan masih dipandang sepi tanpa ada solusi yang kukuh dari kuasa dunia bagi menghentikan konflik ini.

“Hari ini kekejaman ini masih berlanjutan di Semenanjung Gaza dan menyebabkan pembunuhan besar-besaran tanpa ada belas dan ihsan terutamanya kepada golongan yang tidak berupaya, wanita, warga emas malah kanak-kanak turut menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini lebih 15,000 rakyat Palestin yang syahid, 37,000 cedera dan 6,500 hilang di bawah runtuhan bangunan

“Kita langsung tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah dan dengan berdasarkan kekejaman yang Israel lakukan terhadap rakyat Palestin, mereka hanyalah layak sebagai sebuah rejim yang melakukan penjenayahan dunia,” katanya.

Fakhrul Anwar mewakili barisan penyokong kerajaan menyokong usul mengutuk kekejaman rejim Israel.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail yang mewakili barisan penyokong kerajaan mencadangkan negara-negara Islam wajib segera bersolidariti membentuk blok kuasa yang berkesan, untuk membantu palestin serta bingkas dalam menggerakkan segala kekuatan dan kelebihan yang ada, seperti kuasa bekalan minyak mentah, ketenteraan, kempen boikot barangan Israel serta negara sekutunya.

Selain itu beliau turut menyokong usaha mengheret Israel ke mahkamah jenayah antarabangsa (icc).

“Menghargai dan menyokong ketegasan semua negara yang tidak mengiktiraf israel sebagai sebuah negara, selari dengan beberapa deklarasi yang dikeluarkan oleh banyak badan dan pertubuhan samada di peringkat nasional dan internasional sebelum ini,” katanya.

ADUN Bintong juga mencadangkan supaya diperluaskan kempen aids for Palestin, khususnya kepada rakyat perlis, untuk terus istiqamah berdoa, bermunajat, memberikan sumbangan wang ringgit, harta, tenaga, perkongsian maklumat dan sebagainya yang boleh membantu rakyat Palestin melalui pelbagai forum, platfom, medium komunikasi atau media sosial.

Ay Ling mewakili pembangkang membawa usul menyokong usul mengutuk kekejaman rejim Israel pada Sidang DUN Perlis hari ini.

Manakala ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang mewakili pembangkang juga menyokong usul ini mengajak semua pihak bersama-sama merenung dan merasai kepedihan yang melanda tanah Palestin, sebuah wilayah yang terus menderita akibat konflik yang berlarutan.

Katanya, penderitaan rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak yang terjebak dalam konflik ini telah kehilangan hak asas mereka untuk pendidikan, kesihatan, dan masa kanak-kanak yang sihat.

Selain itu, katanya terdapat penderitaan yang teramat ketara di kalangan golongan wanita Palestin di mana harus menanggung beban ganda akibat konflik ini, sering kali kehilangan keluarga dan rumah, di samping risiko kesihatan dan psikologi yang besar,” katanya.

“Kita perlu bersama-sama memastikan hak dan perlindungan mereka diberikan sepenuhnya dan sebagai masyarakat antarabangsa maka kita perlu bersatu demi memberikan bantuan kemanusiaan yang sewajarnya,” katanya. – SM

BACA Masjid seluruh Perlis diarah baca Qunut Nazilah bagi keselamatan rakyat Palestin

BACA Majlis bacaan Yasin, Tahlil, Qunut Nazilah untuk Palestin pupuk sahsiah terpuji warga KHAR

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button