Nasional

Setahun pentadbiran, tiada pimpinan kerajaan terlibat rasuah kata Anwar

PERDANA Menteri berkata, usaha membanteras rasuah sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan menunjukkan kejayaan.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ukuran penting adalah tiada mana-mana kepimpinan kerajaan yang terlibat dalam salah laku rasuah.
Katanya, langkah berterusan mengekang aktiviti rasuah turut dimanifestasikan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).
“Penurusan tugas dan seperti mana kita tahu dalam Kerajaan Madani, tatakelola adalah pokok utama dan pembanterasan rasuah mesti diteruskan.
“Memang ada sedikit kejayaan permulaan (banteras rasuah) dan saya katakan antara ukuran penting adalah pimpinan sehingga sekarang setahun (pentadbiran Kerajaan Perpaduan), belum ada bantahan ataupun pendedahan tentang salah laku dan rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan terhadap penubuhan JKMR.
Minggu lalu, lima ahli baharu JKMR menerima surat cara pelantikan masing-masing.
Antara yang dilantik ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Pengerusi JKMR; Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui; dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.
Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, anggota JKMR dilantik Yang di-Pertuan Agong selama tiga tahun dengan pelantikan kali ini berkuat kuasa mulai 9 Oktober lalu.
Pelantikan dibuat atas nasihat Perdana Menteri selaras Seksyen 14 Akta SPRM.
Sementara itu, mengulas mengenai penggodaman pangkalan maklumat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Anwar berkata kerajaan ketika ini sedang memperkukuhkan aspek keselamatan siber melalui CyberSecurity Malaysia (CSM). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button