
Serangan Siber Lumpuhkan KLIA, Ribuan Penumpang Terkandas
GANGGUAN besar melanda operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas sistem yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diserang siber, mengakibatkan kesulitan selama lebih 10 jam pada Ahad lepas. Insiden ini bukan sahaja mengganggu kelancaran perkhidmatan penerbangan, malah menyebabkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang tersebut.
Memetik laporan New Straits Times (NST), serangan itu menyebabkan pelbagai masalah, termasuklah pengendalian bagasi yang tidak dapat berfungsi hingga memaksa kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan beralih kepada operasi manual. Laporan yang merujuk sumber tidak didedahkan itu juga mendakwa gangguan ini bercanggah dengan kenyataan bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan MAHB sebelum ini bahawa insiden tersebut tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang itu.
Sumber dipetik NST tersebut mendakwa, siasatan awal menunjukkan pencerobohan siber telah menjejaskan sistem kritikal KLIA, menyebabkan gangguan berpanjangan.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan bentuk serangan atau mengenal pasti pihak bertanggungjawab,” kata sumber itu.
Gangguan ini dikatakan turut memberi kesan kepada jadual penerbangan dengan banyak kelewatan dilaporkan sepanjang hari. Menurut laporan itu lagi, ketiadaan sistem sandaran yang kukuh dikatakan memperlahankan usaha pemulihan sistem berkenaan.
Seorang lagi sumber industri penerbangan pula berkata, papan maklumat penerbangan mengalami gangguan secara berselang-seli selama dua hari sebelum kembali beroperasi seperti biasa. “Kami tidak boleh menafikan kesannya. Ribuan orang menyaksikan sendiri papan maklumat yang tidak berfungsi,” katanya.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar serangan serta langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelakkan insiden serupa berulang.