Selepas kontroversi anti vaksin dan berhentikan anak sekolah, Zul Yahya umum keluar jemaah tabligh
SELEPAS kontroversi didakwa sebagai seorang anti vaksin dan dikritik kerana pendirian untuk memberhentikan anak-anak daripada bersekolah, pelakon, Zul Yahya membuat satu lagi pengumuman baru.
Menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya, Zul Yahya memberitahu yang dia tidak lagi bersama dan enggan dikaitkan dengan jemaah tabligh.
“Bagi menjaga kemuliaan nama jemaah tabligh, saya tidak lagi bersama dengan mereka,” katanya.
Menurut Zul Yahya, dia bersyukur kerana banyak yang dipelaharinya sepanjang bersama dengan jemaah tabligh.
“Semoga apa yang dikongsikan kepada saya selama ini dapat diamalkan dan doakan untuk saya terus istiqamah hingga mati.
“Selamat tinggal segala urusan bersama mereka,” katanya.
Tindakan yang diambil oleh Zul Yahya berkemungkinan ada kaitannya dengan komen netizen terhadap pandangan yang dilontarkan sebelum ini.
Malah, rata-rata netizen menyatakan rasa tidak setuju terhadap apa yang diluahkan oleh Zul Yahya terutamanya melibatkan isu vaksin dan persekolahan. -SM