
Selangor Havoc Raya Fest 2025, Festival Jualan Raya Terbesar, 108 Jam di Setia City (SCCC)
SELANGOR Havoc Raya Fest 2025 bakal menjadi acara jualan terbesar sempena Aidilfitri dengan penganjuran festival selama 108 jam tanpa henti. Acara ini akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac 2025 di Setia City Convention Centre (SCCC), menawarkan pengalaman membeli-belah yang luar biasa.
Festival ini bukan sekadar medan membeli-belah, malah menjanjikan pelbagai aktiviti menarik serta hiburan sepanjang tempohnya. Lebih 180 booth akan menampilkan usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai produk persiapan raya dan makanan istimewa untuk para pengunjung.
Selain itu, Selangor Havoc Raya Fest 2025 akan dimeriahkan dengan kehadiran 30 artis dan pempengaruh terkenal yang akan menghiburkan pengunjung dengan persembahan eksklusif.
Sokongan Padu Kerajaan Negeri
Sidang media rasmi telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, bersama Yang Berhormat Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor. Mereka menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini yang bukan sahaja memperkasakan keusahawanan tempatan tetapi juga merancakkan ekonomi negeri menjelang sambutan Aidilfitri.
Hari pertama festival akan dimulakan dengan majlis perasmian yang gilang-gemilang serta pemberian wang tunai sebanyak RM10,000 kepada pengunjung terawal sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka. Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah menarik sepanjang lima hari penganjuran.
Uniknya Selangor Havoc Raya Fest 2025
Festival tahun ini bukan sahaja menampilkan jualan raya dan hiburan, tetapi juga menyuntik elemen spiritual bagi memberi pengalaman lebih bermakna. Buat pertama kali, program qiamullail sebelum sahur akan diadakan, membolehkan pengunjung menghayati Ramadan dalam suasana penuh keberkatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd, Datuk Firdaus Nadxaman, festival ini bukan sekadar platform perniagaan tetapi juga ruang untuk menyatukan elemen duniawi dan ukhrawi.
“Kami mahu menjadikan Selangor Havoc Raya Fest lebih istimewa. Dengan tempoh 108 jam tanpa henti, festival ini bukan sahaja menawarkan jualan raya dan hiburan, tetapi juga nilai tambah dari segi kerohanian. Program qiamullail sebelum sahur adalah satu inisiatif bermakna bagi kami dalam memastikan keseimbangan antara perniagaan dan penghayatan Ramadan,” katanya.
Pelancaran Muzik Video ‘Havoc Raya’
Selangor Havoc Raya Fest 2025 turut mencipta sejarah dengan pelancaran muzik video rasmi ‘Havoc Raya’ – lagu raya pertama sejak enam tahun penganjuran festival ini. Lagu ini menampilkan Black Hanifah sebagai penyanyi utama, bersama Asfan Shah, Talam, Epol, Shafiq Nizam, Syura Badron, Mira Kuku, Daud Latah, Qistina, Afif Hanif, Shajiry, dan Azza Elite.
Muzik video ini dijangka menjadi salah satu tarikan utama festival dan menambahkan kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sokongan dan Tajaan
Penganjuran Selangor Havoc Raya Fest 2025 turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Perfume Paradise sebagai penaja utama. Festival ini juga disokong oleh agensi kerajaan negeri Selangor seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Tourism Selangor, yang akan membantu mempromosikan acara ini sebagai sebahagian daripada inisiatif Tahun Melawat Selangor 2025.
Menurut Datuk Firdaus Nadxaman, sokongan ini membuktikan bahawa Selangor Havoc Raya Fest bukan sekadar festival jualan, tetapi satu platform penting dalam memperkasakan usahawan tempatan serta menyemarakkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri.
“Kami percaya bahawa festival ini bukan sekadar ruang niaga, tetapi juga peluang untuk komuniti berkumpul, merasai kemeriahan Ramadan, dan membuat persiapan Aidilfitri dengan penuh keceriaan. Tahun ini, kami tampil dengan lebih banyak elemen kejutan dan aktiviti menarik untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang luar biasa kepada pengunjung,” ujarnya.