
Selangor Future Cup tengahkan platform bakat dan pendidikan e-sukan
SELANGOR Future Cup 2024/2025 melakar sejarah sebagai kejohanan e-sukan sekolah pertama yang menggabungkan pembangunan bakat sukan elektronik dengan laluan akademik yang jelas. Kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor, Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, Selangor Red Giants (SRG), dan TODAK.
Majlis Sukan Negeri Selangor dan Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, dengan kerjasama SRG dan TODAK, buat pertama kali menganjurkan Selangor Future Cup 2024/2025: Lahirnya Lagenda – Kejohanan MLBB Antara Sekolah Negeri Selangor. Inisiatif ini bertujuan untuk mengenal pasti bakat baru e-sukan dalam kalangan pelajar sekolah yang berpotensi dan memberi pendedahan kepada peserta merasai pengalaman kejohanan di skala profesional.
Menurut Timbalan Presiden TODAK, En. Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri, kejohanan ini bukan sekadar pentas persaingan, tetapi satu platform untuk memperkasa masa depan atlet e-sukan muda.
“Kami tidak mahu sekadar melahirkan pemain e-sukan berbakat, tetapi juga individu yang mempunyai hala tuju pendidikan yang jelas. Misi TODAK adalah untuk menghapuskan stigma bahawa e-sukan hanya berkisar tentang kemenangan dan wang hadiah. Melalui biasiswa dan program pembangunan, kami ingin membuktikan bahawa industri ini mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.
Lebih daripada sekadar pertandingan, Selangor Future Cup berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan bakat pemain muda kepada ekosistem e-sukan sambil menggalakkan keterlibatan komuniti dan semangat kesukanan. Sebanyak 64 sekolah di seluruh Selangor telah mengambil bahagian, mempamerkan bakat generasi baharu dalam e-sukan dalam suasana yang kompetitif. Pertandingan ini juga menjadi salah satu platform dalam mengenal pasti bakat yang boleh diserap ke program pembangunan atlet e-sukan bagi misi SUKMA yang akan datang.
Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, TODAK Academy menawarkan biasiswa penuh Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) kepada juara kejohanan, Sekolah Menengah Kota Kemuning. Biasiswa ini bernilai lebih RM31,600 bagi setiap pemain yang terpilih, dengan jumlah keseluruhan tajaan mencecah RM200,000. Pelajar yang menerima biasiswa ini berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang pembangunan kandungan digital dan teknologi permainan di peringkat Diploma. Selain itu, sekolah tersebut juga menerima penajaan pembangunan fasiliti e-sukan bernilai RM30,000 bagi memperkukuhkan ekosistem e-sukan di peringkat sekolah.
Program yang berlangsung selama dua hari ini dilancarkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari diiringi YB Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor pada 22 dan 23 Februari 2025 bertempat di AEON Mall Shah Alam. Sekurang-kurangnya 384 orang pelajar dari 64 buah sekolah telah bertanding dalam acara yang gemilang ini.
“Sepanjang dua hari kejohanan ini berlangsung, kami dapat lihat ramai peserta yang mempunyai potensi besar dan saya percaya dengan bimbingan yang betul melalui program pembangunan atlet di TODAK dan SRG, kita mampu melahirkan lebih ramai atlet profesional di masa hadapan,” kata En. Mohd Ikmal Fareeq.
Selangor Future Cup 2024/2025 menyaksikan penglibatan 64 buah sekolah dengan lebih 384 pelajar bertanding dalam kejohanan yang berlangsung di AEON Mall Shah Alam. Kejohanan ini turut mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, yang melihat inisiatif ini sebagai langkah awal untuk memperkenalkan e-sukan sebagai sebahagian daripada pembangunan pelajar di peringkat sekolah.
SMK Kota Kemuning telah dinobatkan sebagai juara sulung bagi Kejohanan Selangor Future Cup ini dan membawa pulang RM160,000 biasiswa tajaan TODAK Academy, RM30,000 nilai pembangunan hab e-sukan di sekolah berserta RM5,000 tunai. Tempat kedua dimenangi oleh SMK Saujana Utama diikuti dengan SMK Seksyen 19 dan SMK Bandar Sunway.
Selangor Future Cup: Lahirnya Lagenda turut mendapat sokongan daripada penaja utama, termasuk TODAK Academy, yang menaja Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) serta AEON Mall Shah Alam sebagai penaja rasmi lokasi kejohanan. Selain mendapat sokongan dari Moonton Student Leaders (MSL) dengan jumlah tajaan in-app diamonds. Tajaan ini mencerminkan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan bakat e-sukan dalam kalangan belia serta memajukan industri e-sukan di Malaysia.
Dengan kejayaan penganjuran kali ini, TODAK berharap kejohanan seumpama ini dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia serta badan sukan negeri.
“Kami ingin mengajak lebih banyak institusi pendidikan dan organisasi untuk bersama-sama membentuk masa depan e-sukan di Malaysia. Selangor Future Cup bukan sekadar pertandingan, tetapi satu visi jangka panjang untuk memastikan industri ini berkembang dengan hala tuju yang lebih jelas,” kata En. Mohd Ikmal Fareeq.
Kejohanan ini bukan sahaja memberi impak kepada para pemain, tetapi juga kepada ibu bapa dan masyarakat yang masih skeptikal terhadap industri e-sukan. Dengan adanya laluan pendidikan yang jelas, ia memberikan keyakinan bahawa penglibatan dalam e-sukan bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi juga membina masa depan yang stabil dan berdaya saing.