Selamat berkorban
HARI INI umat Islam di negara ini menunaikan ibadah korban. Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha masing-masing akan bergotong-rotong menyembelih dan melapah haiwan korban.
Terlebih awal lebih dua juta umat Islam telah wukuf di Padang Arafah, tanda bermulanya manasik haji. Ibadah Korban merupakan suatu bentuk ibadah yang dilaksanakan oleh umat Islam yang berkemampuan dengan cara meny3mb3lih haiwan ternakan ( Al-An’am) bermula dari saat solat Sunat Aidiladha dilaksanakan pada tanggal 10 Dzulhijjah, diikuti pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 sehinggalah sebelum terbenamnya matahari pada 13 Dzulhijjah. Berasal dari perkataan Arab, ‘Qaraba’ yang bermaksud dekat, ibadah Korban adalah suatu bentuk khusus seorang hamba ingin mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan perlaksanaan sembelihan pada hari-hari yang disebutkan sebelum ini.
Ibadah Korban mempunyai susur galur sejarah yang panjang sejak zaman Nabi Adam alaihissalam. Imam Ibnu Kathir rahimahullah menyebutkan sebuah riwayat dari Sayyiduna Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu tentang bagaimana kedua putera Nabi Adam, Habil dan Qabil diperintahkan agar melaksanakan korban dengan keduanya mempersembahkan hasil terbaik dari perusahaan mereka berdua untuk menyelesaikan pertelingkhan antara keduanya kerana keengganan Qabil mematuhi perintah ayahandanya agar memperisterikan kembar Habil dan sebaliknya ingin memperisterikan kembarnya sendiri kerana kecantikan kembarnya berbanding kembar Habil.
Maka Qabil yang merupakan seorang petani mempersembahkan hasil tanamannya yang terburuk sebagai korban manakala Habil yang merupakan seorang penternak mempersembahkan seekor biri-biri yang gemuk sebagai korbannya. Pada saat keduanya mempersembahkan korban masing-masing maka turunlah cahaya menyambar korban habil sebagai isyarat penerimaan korbannya oleh Allah, sehingga mengakibatkan rasa irihati Qabil tidak terbendung lagi sehingga dia nekad membunuh Habil yang mengakibatkan terjadilah pembunuhan manusia yang pertama di muka bumi.
Kemudian apabila tiba pada waktu kerasulan Nabi Ibrahim alayhissalam, Allah menguji baginda dengan mendatangkan mimpi sebagai wahyu kepada Baginda agar meny3mb3lih salah seorang putera Baginda (para ulama berselisih pendapat tentang samada Nabi Ismail atau Nabi Ishaq yang diperintahkan untuk dis3mb3lih, namun penulis cenderung kepada pendapat ulama’ yang mengatakan yang dis3mb3lih adalah Nabi Ismail). Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Qur’an:
“Maka apabila anak itu sampai (pada umur mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku meny3mb3lihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab, “Wahai bapaku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar!” (as-Saffat, 37:102)
Maka sebaik sahaja hampir Nabi Ismail dis3mb3lih oleh bapa Baginda, maka Allah memerintahkan malaikat Jibril agar menggantikan Nabi Ismail dengan seekor biri-biri yang gemuk dari syurga, maka demikianlah berlaku persitiwa korban secara peny3mb3lihan buat kali pertama dalam sejarah manusia. Diriwayatkan dari Sayyiduna Ibnu ‘Abbas juga bahawa biri-biri tersebut merupakan biri-biri milik Habil yang dikorbankan dahulu dan disimpan di syurga sehinggalah ia dis3mb3lih oleh Nabi Ibrahim sebagai ganti kepada putera Baginda.
Ibadah Korban ini kemudian diwarisi terus menerus oleh keturunan nabi Ibrahim sampailah kepada bangsa Arab sebelum daripada kerasulan Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang akan meny3mb3lih haiwan atas menzahirkan kesyukuran kepada Allah apabila berlaku sesuatu perkara yang besar.
Dalam pada itu pastinya bagi rakyat Malaysia memikirkan bilakah tarikh pengundian yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas enam buah negeri membubarkan dewan undangan negeri masing-masing.
Ini merupakan sejarah kerana buat pertama kali enam buah negeri bakal mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada pilihan raya umum.
Ia menjadi norma baharu. Namun politik negara semakin panas sejak gendang perang pilihan raya telah dipalu di enam buah negeri. Sekitar dua bulan lagi kita akan tahu siapa yang dipilih oleh pengundi untuk memerintah di enam buah negeri.
Bagi yang sedang menunaikan ibadah haji eloklah diberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan itu dan lupakan seketika kemelut politik dan ekonomi pada masa ini.
Bagaimanapun di tanah air walaupun enam buah negeri yang bakal menghadapi pilihan raya, tetapi bahangnya terasa di seluruh negara. Ia ibarat berdepan pilihan raya umum.
Walaupun kerajaan perpaduan sudah dibentuk sejak tujuh bulan lalu, tetapi negara seolah-olah tidak mempunyai kerajaan kerana tiada hala tuju yang jelas setakat ini. Ramai yang berpandangan selepas berdekad menunggu menjadi perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di dalam mood berbulan madu dan begitu juga pengikutnya.
Ketika rakyat masih menunggu Anwar menjadi perdana menteri dan menteri kabinet menjadi kerajaan, pengikut mereka yang bangkit dengan dendam amarah terus mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak menyokong kerajaan.
Para menteri pula terbawa-bawa dengan desakan penyokong yang mahukan tindakan tegas tersebut. Sedangkan mereka sudah menjadi kerajaan dan tidak seharusnya menjadi sebahagian besar rakyat negara ini sebagai musuh. Mereka perlu faham hati rakyat hanya boleh dimenangi dengan dasar yang baik dan hala tuju yang jelas kerajaan.
Menjadikan sekelompok rakyat sebagai musuh bukan langkah yang bijak. Dasar merugikan kelompok golongan berada iaitu T20 akan merosakkan ekonomi negara ini. Majoriti golongan T20 ini adalah saudagar atau peniaga dan apabila mereka menjadi musuh negara dan dirugikan kerana anuti sosialis dipegang oleh kerajaan ia akan merencatkan ekonomi negara keseluruhan.
Apabila kos operasi meningkat para peniaga akan menaikkan harga barang dan akan membuang pekerja. Akhirnya kesan yang paling teruk dirasai adalah golongan M40 dan B40.
Oleh itu sikap mempariahkan golongan T20 harus diperbetulkan kerana mereka bukan musuh kerajaan dan negara ini. Mereka menyumbangkan kepada kemakmuran negara ini.
Justeru pilihan raya negeri kali ini menjadi referundum rakyat sejauh mana mereka menerima kerajaan yang dibentuk dengan pelbagai muslihat dan bukan dipilih oleh majoriti rakyat ini.
Ada yang berpendapat bahawa kerajaan ini harus diberi peluang selama lima tahun untuk membuktikan kemampuan mereka dan jika gagal ia perlu ditukar semasa pilihan raya apabila tamat penggal pemerintah.
Bagaimanapun ramai yang gusar untuk mengambil risiko yang begitu tinggi. Selepas tempoh pemerhatian 100 hari, kerajaan ini tidak berfungsi dengan baik dan kini setelah tujuh bulan, negara ini masih tidak mempunyai kerajaan yang seharusnya.
Sebab itu amalah sesebuah syarikat hanya menetapkan tempoh percubaan adalah tiga bulan sahaja, jika gagal pekerja akan dibuang kerana memang tidak sesuai untuk bekerja di syarikat berkenaan. Maka pekerja berkenaan perlu mencari pekerjaan yang sesuai dengan dirinya. Jika semua pekerja diberi tempoh percubaan selama lima tahun, nescaya syarikat berkenaan akan bankrup kerana terpaksa menanggung pekerja yang tidak efisien selama lima tahun.
Begitu juga negara, jika ditadbir oleh sebuah kerajaan yang gagal, ia perlu ditukar segera bagi mengelakkan kebobrokan yang lebih banyak dilakukan terhadap negara ini. Mungkin pemimpin yang ada pada masa ini lebih sesuai menjadi pembangkang, berbanding menjadi kerajaan.
Kebanyakan orang memang boleh memandu kenderaan, tetapi tidak semua boleh memandu kereta Formula 1. Jika kereta berprestasi tinggi itu dipandu oleh pemandu yang tidak cekap, maka hancur berkecailah kemalangan. Bahkan ia juga membahayakan orang lain.
Jadi jika pemimpin yang ada pada masa ini, masih tidak mampu untuk mencari jalan menyelesaikan kemelut politik dan krisis ekonomi yang dihadapi negara, adalah lebih baik mereka berkorban turun dengan baik dan duduk di kerusi yang lebih sesuai iaitu menjadi pembangkang. Selepas itu mereka perlu belajar lagi menjadi pemimpin yang sejati dan rela berkorban demi negara dan bukan ibarat beruk mendapat cincin dan kera mendapat bunga.
Selamat berkorban.