Nasional

Selain Malaysia, negara Asia Pasifik lain turut sekat media sosial untuk kekang jenayah

BUKAN Malaysia sahaja yang mengenakan sekatan kepada pemilik platform media sosial dengan mengenakan lesen mulai 1 Januari lalu, tetapi juga beberapa negara lain di rantau Asia Pasifik.

Memetik laporan berita Anadolu, ini disebabkan penggunaan media sosial tanpa kawalan boleh memberikan kesan negatif terutama kepada remaja.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kajian mendapati lebih 10 peratus remaja di seluruh dunia terjejas akibat penggunaan media sosial.

Malah, peningkatan penggunaan media sosial berlebihan di peringkat global menyebabkan masalah kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan remaja.

Disebabkan itu, negara-negara di rantau Asia-Pasifik mula mengambil langkah tegas melindungi kanak-kanak daripada kesan negatif media sosial, termasuk sekatan terhadap kandungan seksual, keganasan serta maklumat palsu selain mengenakan lesen seperti Malaysia.

Australia misalnya, menjadi negara pertama di dunia yang melarang akses media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.

Senat negara itu Pada 28 November lalu meluluskan rang undang-undang yang melarang akses media sosial untuk golongan bawah umur itu dengan undian 34-19.

Dalam tempoh setahun, platform media sosial perlu melaksanakan langkah sewajarnya untuk menyekat akses pengguna di bawah usia 16 tahun.

Jika melanggar peraturan itu, platform global seperti Facebook, TikTok, Snapchat, Reddit, Instagram dan X, berisiko didenda sehingga AS$33 juta.

Langkah diambil Australia itu diikuti pula oleh New Zealand yang kini memantau teliti perkembangan pelaksanaannya, walaupun masih belum mewujudkan peraturan dan undang-undang pada masa ini.

Perdana Menteri, Christopher Luxon berkata, pihaknya sedang memantau dengan teliti larangan media sosial yang dilaksanakan Australia.

Pemimpin pembangkang, Chris Hipkins turut menyatakan keterbukaan untuk negara mengambil pendekatan sama dan kesediaan menyokong langkah tersebut jika keberkesanannya terbukti.

Indonesia menyatakan sedang mempertimbangkan untuk mengikut jejak Australia dalam mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Pegawai Kementerian Kesihatan, Imran Pambudi menyarankan kerajaan Indonesia untuk mempertimbang langkah sama, namun menegaskan perubahan tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Imran turut menekankan pada masa ini, ibu bapa wajar bertanggungjawab memantau penggunaan media sosial anak masing-masing.

Beliau menganggarkan pelaksanaan peraturan sedemikian mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.

Di India pula walaupun tidak mempunyai peraturan sekatan umur untuk akses media sosial namun di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi Digital 2023, golongan di bawah umur 18 tahun mesti memperoleh kebenaran ibu bapa yang disahkan untuk pemprosesan data peribadi mereka.

Kerajaan India juga sedang mempertimbangkan langkah untuk menangani penyebaran maklumat palsu di media sosial.

Sementara itu, Korea Selatan juga sedang mempertimbangkan bagi memperkenal larangan yang mungkin menetapkan had umur 14 atau 16 tahun untuk akses akaun media sosial.

Pada masa ini negara itu belum mempunyai sekatan undang-undang terhadap akses kanak-kanak kepada media sosial.

Jepun turut membincangkan langkah untuk menangani berita palsu di media sosial dan mengekang fitnah terhadap individu serta organisasi melalui akaun palsu dan tanpa nama.

Pada Mei tahun lalu, negara itu telah melakukan pindaan undang-undang yang diluluskan Parlimen di mana platform media sosial diwajib mewujudkan prosedur telus bagi menarik keluar kandungan fitnah dalam talian.

Platform media sosial juga diwajibkan untuk segera bertindak balas terhadap tuduhan fitnah dalam talian.

Sebagai sebahagian daripada semakan undang-undang, syarikat media sosial mesti mewujudkan saluran hubungan untuk menangani permintaan pengalihan keluar kandungan dan mentakrifkan kriteria untuk mengeluarkan hantaran.

Di Bangladesh, walaupun tidak ada undang-undang yang melarang kanak-kanak menggunakan platform media sosial, kerajaan berusaha menghubungi syarikat media sosial bagi mencegah penyebaran maklumat palsu dan kandungan keganasan.

Pada Ogos tahun lalu misalnya, Bangladesh menutup rangkaian internet mudah alih untuk menyekat akses ke platform media sosial popular seperti Instagram, WhatsApp dan YouTube.

Kerajaan negara itu turut mengumumkan keputusan menyekat akses itu sebagai tindak balas terhadap usaha memerangi berita palsu, mendakwa syarikat sosial tidak mematuhi undang-undang Bangladesh semasa protes ganas.

Bagaimanapun, larangan itu dibatalkan selepas pengunduran Perdana Menteri, Sheikh Hasina pada 5 Ogos dan penubuhan kerajaan sementara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button