Pada saat ahli Parlimen pembangkang melaungkan slogan yang ‘pelbagai versi’ kepada kerajaan Pakatan Nasional (PN), Yang di-Pertuan Agong tampil dengan cara yang berbeza.
Difahamkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghadiahkan sejambak bunga kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang beransur pulih setelah menjalani pembedahan jantung minggu ini.
Takiyuddin mula dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada Jumaat lalu di Kuala Lumpur dan hadiah sejambak bunga daripada Agong ke katil hospital memberikan mesej yang jelas.
Antara mesej yang jelas adalah netizen berpendapat tindakan Agong yang prihatin kepada Takiyuddin membawa maksud pemimpin PAS itu belum mencetuskan rasa murka, kecuali rasa duka cita.
Sehubungan itu, faktor derhaka seperti yang dilaungkan oleh ahli Parlimen pembangkang dilihat cuma wujud sebagai provokasi untuk melemahkan kerajaan PN.
Dalam masa yang sama, Agong hanya duka cita kerana berpendapat wajarkah pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.
Namun demikian umum mengetahui bahawa pembatalan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit berikutan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin memaklumkan usul membahas dan mengungkai ordinan darurat boleh dilakukan pada sidang Parlimen yang dijadual berlangsung September depan.
Semalam, sejumlah ahli Parlimen pembangkang diketuai Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berarak dari Dataran Merdeka ke bangunan Parlimen.
Perarakan itu dibuat selepas kesemua mereka gagal memasuki Parlimen sekali gus menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan juga kerana didakwa menderhaka terhadap Agong.