DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil terhadap beberapa perkara mendesak terkait sektor keterjaminan makanan negara khususnya kelulusan pelaksanaan serta fasilitasi pelaburan dan perniagaan.
Perdana Menteri berkata, perkara itu ditegaskan beliau ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024, yang membincangkan usaha mempertingkat keterjaminan makanan serta memperkasa industri agromakanan negara.
“Alhamdulillah, mesyuarat dimaklumkan mengenai prestasi dan produktiviti dalam sektor pertanian serta agromakanan yang tampak memberikan kesan positif dengan mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh setahun kebelakangan ini.
“Namun, saya tegaskan keperluan melaksanakan tindakan segera terhadap beberapa perkara mendesak terkait sektor ini, khususnya kelulusan pelaksanaan serta fasilitasi pelaburan dan perniagaan.
“Elemen ease of doing business wajar diterapkan bagi menyokong ekosistem perniagaan dalam sektor pertanian.
“Kerajaan komited dengan pembangunan ekosistem industri tanaman serta pengadaptasian teknologi dan meneroka potensi makanan masa hadapan seperti daging kultur, hasil daging kultur dan cell-based food.
“Justeru, inisiatif ini perlu didahului dengan kajian yang menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan adalah terjamin.
“Inisiatif pemodenan pertanian seperti pembangunan kilang tanaman akan menyokong pertumbuhan industri teknologi pertanian bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang lestari sebagai alternatif kepada pengeluaran tanaman semasa.
“Mesyuarat turut bersetuju dengan pembangunan indikator keterjaminan makanan merangkumi maklumat berkaitan harga dan ketersediaan makanan di seluruh peringkat.
“Saya yakin segala ikhtiar yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan terus melonjak pembangunan sektor pertanian dan agromakanan supaya menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan terus memanfaatkan rakyat,” katanya dalam kenyataan di platform X. – SM