Menuduh parti yang memperjuangkan Islam, parti berusaha menyatukan orang Melayu, parti yang berjuang untuk kemerdekaan negara, parti yang memajukan negara ini sebagai merbahaya tidak ada masalah apabila sudah menjadi kerajaan.
Tabur duit untuk meraih undi, janji projek, janji pembangunan, tabur janji, tabur pesona, segalanya boleh bila sudah menjadi kerajaan. Walaupun masih berlonggok janji pilihan raya lalu, pilihan raya pilihan raya kecil yang lalu tidak ditunaikan ia normal bila jadi kerajaan.
Rakyat akan menerimanya dengan pelbagai alasan diberi bila jadi kerajaan. Daripada ketua pengarah sampai pion semuanya lantikan politik pun masih ok bila jadi kerajaan.
Jika dahulu negara berkebajikan, tetapi kini mereka sibuk dengan kebajikan diri sendiri masih lagi ok bila jadi kerajaan.
Saya tidak faham apa lagi alasan yang akan digunakan dan rasanya rakyat sendiri sudah tidak ada lagi alasan untuk mengekalkan kerajaan hari ini yang caca marba, kucai kulana dan hancur berkecai. Ekonomi teruk, PM dan bakal PM berebut kuasa. Para pemimpin yang belum dapat keluar dari kepompong rasis.
Ada yang terlebih liberal segalanya mahu diubah walaupun sudah elok dan termaktub di dalam Perlembagaan. Menteri-menteri yang banyak menghabiskan duit rakyat ke luar negara, tiada satu pelaburan pun yang dibawa masuk, bahkan pelabur yang sedia ada angkat kaki kerana dasar dan pentadbiran yang tidak stabil.
Pengangguran tidak terkawal, harga barang tidak terkawal. Agaknya sebelum jadi kerajaan kelompok ini telah lama mengidam untuk jadi kebal, jadi tidak boleh disentuh kerana telah sekian lama membangkang. Mereka lupa watan ini bukan hanya untuk mereka.
Itulah sebelum ini ramai yang berkata lima tahun saja, kita tukar kerajaan kalau tidak ok, kita tukar yang lain. Sekarang rasakanlah lima tahun yang panjang dan menyiksakan. Berdoalah negara ini tidak hancur selepas lima tahun.
Jadi di Tanjung Piai rakyat perlu menunjukkan iltizam dan tekad serta manifestasi bahawa mereka tidak mahu lagi dibuli, diperbudak-budakan oleh kerajaan hari ini. Pengundi Tanjung Piai perlu menghantar pembangkang ke Parlimen untuk terus bersuara di Parlimen dan bukan satu lagi wakil rakyat yang hanya mengikut telunjuk dan hanya memanaskan kerusi parlimen sebelum menikmati pencen sebagai wakil rakyat.