Nasional

Sasar usahawan kecil, mikro sertai ekonomi pendigitalan

ALOR GAJAH 30 Januari – Kerajaan menyasarkan usahawan kecil mikro dan sederhana untuk menyertai gelombang ekonomi pendigitalan bagi membantu membangunkan ekonomi mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tanggapan sesetengah usahawan terbabit bahawa gerakan itu hanyalah untuk perniagaan yang besar dan syarikat-syarikat gergasi adalah tidak berasas.

Menurutnya, gerakan gelombang ekonomi pengigitalan harus disertai bukan sahaja dalam kalangan usahawan kecil dan mikro tetapi juga seluruh masyarakat bagi menjadikan ia sebagai satu budaya baharu.

Beliau menegaskan, ekonomi pendigitalan mempunyai potensi yang sangat besar berdasarkan kepada Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Expo 2020 Dubai baru-baru ini apabila sasaran pelaburan sebanyak RM300 juta tetapi melonjak kepada RM1.17 bilion.

“Sepanjang tujuh hari Expo tersebut, Malaysia telah berjaya menarik pelaburan dari luar negara apabila menandatangani sebanyak 16 memorandum persefahaman (MoU).

“Ini membuktikan potensinya sangat-sangat besar jadi kita mahu syarikat-syarikat Malaysia termasuk syarikat kecil mikro ataupun sederhana menyertai gerakan ini,” ujarnya dalam sidang akhbar pada program Sembang Santai Keluarga Malaysia di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Annuar berkata, industri kreatif juga adalah salah satu sasaran bagi merealisasikan pembudayaan ekonomi digital.

Jelasnya, pada masa ini sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak lima peratus.

“Kita merasakan masih ada ruang yang cukup luas untuk industri ini ditingkatkan lagi dengan pelbagai program-program bakal dianjurkan,” ujarnya.

Menurutnya, industri kreatif mampu memberi sumbangan yang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara keseluruhannya di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada pemain industri.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus menyokong industri tersebut melalui MyCreative Ventures (MyCreative) serta unit di bawahnya seperti mana Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan RIUH.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button