Sarawak sokong PM yang bawa kestabilan politik – Abang Jo
KUCHING: “Sarawak berpendirian untuk menyokong pelantikan Perdana Menteri, selagi ia membawa kepada kestabilan politik negara” kata Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Menurutnya lagi, GPS bersetuju bersama membentuk Kerajaan Perpaduan bersama parti lain selepas PRU 2022 kerana tidak ada gabungan politik yang mempunyai majoriti kerusi di Parlimen.
“Kami bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan kerana mahu Malaysia mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil,” katanya.
Abang Johari menegaskan, Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil untuk menghadapi sebarang masalah luar.
Premier Sarawak itu menegaskan, ketegangan geopolitik di Laut China Selatan adalah di antara masalah luar yang mampu menjejaskan kedaulatan negara.
Ini kerana katanya, selain membabitkan negara Asia Tenggara dengan China, isu di Laut China Selatan itu turut menarik negara kuasa besar untuk turut serta.”Sarawak secara kebetulan menghadap Laut China Selatan yang bermakna Malaysia juga berada dalam kawasan itu.
“Jika Malaysia mengalami krisis politik, maka apa yang akan berlaku? Ini bermakna masalah luar boleh menjejaskan kedaulatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘townhall’ sempena ulang tahun kelapan beliau sebagai Premier Sarawak, di sini, malam tadi, sebagaimana dilaporkan oleh Berita Harian.
Justeru katanya, Malaysia harus mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil yang menjamin keupayaan untuk mempertahankan diri.
Menurut, sejak krisis politik berlaku di Semenanjung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menekankan kepentingan kestabilan politik di negara ini.
Beliau berkata, sejak awal ketika krisis bermula kerajaan GPS menyatakan bahawa Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat.
Berikutan itu, GPS menetapkan pendirian untuk menyokong mana-mana pihak yang membentuk kerajaan Persekutuan.
Justeru kata beliau, selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH), GPS menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan selepas Muhyiddin berundur, GPS menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula sebagai pemimpin Persekutuan Malaysia. – SM