Sambutan hebat program baucar Buku MADANI Fasa 2
YAYASAN Perkasa Siswa (YPS) dengan rasa penuh penghargaan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara atas sambutan yang sangat menggalakkan terhadap Program Baucar Buku MADANI Pelajar IPT Fasa 2.
Sambutan hebat ini mencerminkan keprihatinan serta kesungguhan mahasiswa dalam memanfaatkan inisiatif yang disediakan bagi menyokong pembelajaran mereka.
Portal rasmi MySiswaPlace.my menyaksikan peningkatan trafik luar biasa sejak pelancaran program ini, dengan ribuan mahasiswa mengakses laman tersebut setiap hari untuk menebus baucar mereka.
Melihat sambutan yang luar biasa ini, YPS ingin memohon mahasiswa untuk bersabar dalam menunggu penghantaran pesanan buku mereka. Walaupun jumlah pesanan yang diterima amat tinggi, YPS bersama rakan pengedar komited memastikan setiap pesanan diproses dengan rapi dan buku dihantar dalam keadaan terbaik.
Kami juga ingin memberi jaminan bahawa baucar buku tidak akan kehabisan stok. Semua mahasiswa yang memenuhi syarat kelayakan layak menebus baucar sehingga 31 Disember 2024.
Bagi memastikan kelancaran proses, mahasiswa diingatkan untuk memastikan maklumat yang dimasukkan, seperti nombor matrik, adalah tepat. Sekiranya berlaku sebarang kesulitan, pasukan khidmat pelanggan kami sentiasa bersedia untuk membantu, 24 jam sehari.
YPS turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk penerbit dan pengedar buku seperti Popular Book Store serta lebih 300 rakan pengedar lain. Sokongan ini mencerminkan usaha kolektif untuk memperkukuh budaya membaca dan pembelajaran dalam kalangan masyarakat.
Program ini bukan sahaja memudahkan mahasiswa memperoleh bahan bacaan berkualiti, tetapi juga menyemarakkan semangat pembelajaran yang menjadi asas kepada pembangunan masyarakat berintelek.
Untuk penebusan baucar dan maklumat lanjut, mahasiswa boleh melayari portal rasmi MySiswaPlace.my.