Nasional

Saham MAHB: Hanya tiga peratus tambahan milikan asing, tidak timbul isu keselamatan

DAKWAAN kerajaan menjual saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat asing tidak benar kerana pemilikannya hanya meningkat tiga peratus.

Perdana Menteri Datuk seri Anwar Ibrahim berkata, milikan asing hanya 30 peratus dalam MAHB berbanding sebelum ini 27 peratus iaitu bertambah tiga peratus.
“Apa yang berlau dalam kes ini, pegangan 41 peratus kerajaan melalui Khazanah, KWSP menjadi 70 peratus. Pegangan asing 27 peratus menjadi 30 peratus bersama Abu Dhabi Investment Authority dan GIP. Kita tak ada perubahan dari segi struktur yang berlebihan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi tadi.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar, mengapakah perlu diberi peranan kepada GIP sedangkan MAHB tidak mengalami kerugian, Anwar menjawab, keuntungan pengurusan lapangan terbang di Malaysia masih rendah dan tidak sebanding rakan rakan di ASEAN.

“Walaupun ada mencatat keuntungan, tetapi unjuran keuntungan dan kapasiti itu jauh lebih rendah daripada apa yang dicapai oleh lapangan terbang negara-negara jiran sama ada Singapura, Thailand atau Jakarta,” katanya.

Mengenai dakwaan rahsia negara akan bocor ke tangan Israel dengan terdapatnya ‘penglibatan’ BlackRock. Anwar berkata, ia tidak berlaku sama sekali.
Perdana Menteri memberi jaminan tahap keselamatan berada dalam kawalan kerajaan, sementara pegangan saham terbesar masih dimiliki KWSP dan Khazanah.

“Faktor keselamatan tidak berbangkit kerana masih milik Kerajaan.

“Keselamatan tanggungjawab Kerajaan, Pengerusi syarikat dan CEO masih rakyat Malaysia, itu syarat-syarat kelayakan. Jadi soal penjualan MAHB tidak berbangkit sama sekali kerana milik Kerajaan daripada 41% ke 70%.

“Pengerusi syaratnya mesti rakyat Malaysia, CEO mesti rakyat Malaysia, keselamatan keseluruhannya tanggungjawab Kerajaan Malaysia,” katanya.

Anwar juga menjelaskan persoalan mengapa GIP dipilih sebagaimana ditanya oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Pas-Machang).
Katanya hal itu adalah keputusan syarikat. Tawaran telah dibuka secara rasmi dan syarikat yang dibenarkan untuk memegang saham adalah yang bersetuju dengan syarat syarat dikenakan.
“Khazanah melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 syarikat yang berminat, akhirnya lima yang layak.
“Syarat yang ditetapkan oleh Khazanah ketat, yang tidak dipersetujui oleh kebanyakan. Pertama dan kedua, Pengerusi dan CEO, rakyat Malaysia, ketiga, majoriti pegangan Malaysia.
“Yang berminat syarikat-syarikat lain, baik Singapura dan lain, dia nak hak mengurus, maknanya CEO rakyat dia ataupun yang dia tentukan. Syarat ini tidak diterima. Jadi itu sebabnya mengapa GIP diambil,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button