Politik

Sabtu hari mengundi disyorkan kepada SPR

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengesyorkan, hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibuat pada cuti penggal persekolaan khususnya pada hari Sabu bagi mengelakkan operasi sekolah terjejas.

Syor itu dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang masih belum menetapkan hari mengundi.

Menurut Radzi, memandangkan jangkaan hari mengundi bagi PRU15 dibuat bukan pada musim cuti persekolahan maka akan banyak bilik darjah dan ruangan di sekolah-sekolah dapat digunakan sebagai saluran mengundi.

“Biasanya, secara umum pilihan raya dibuat pada cuti hari minggu. Kita harap begitulah untuk kali ini supaya tidak menjejaskan operasi sekolah.

“Buat hari Sabtu, itu bagi memudahkan sebab kalau Ahad, ada negeri yang bersekolah pada hari itu,” katanya.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, semua belum tahu bilakah tarikh PRU15 akan ditetapkan oleh SPR.

“Apa yang penting, kalau operasinya pada Sabtu, ini adalah perkara yang kita sudah lalui seperti pilihan raya sebelum ini.

“Cuma kalau hari bersekolah itu akan terjejas operasi sekolah pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat pelepasan peserta PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Putrajaya-Genting Highlands di Dataran Putrajaya hari ini

Sementara itu, SPR dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan akan bermesyuarat pada 20 Oktober ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 termasuk hari penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) ada membuat perbincangan dengan SPR mengenai penggunaan sekolah tetapi bukan secara khusus berhubung penggunaannya jika hari pengundian dibuat pada hari bersekolah.

“Perlu diingat, bukan sehari tempoh diambil SPR untuk menyediakan tempat dan saluran-saluran mengundi. Penyediaan tempat mungkin akan mengambil masa sehari sebelumnya.

“Sebab itulah, kalau ia diadakan pada hari Sabtu, ia memudahkan semua orang termasuk pihak sekolah dan ibu bapa. Perkara begini SPR lebih maklum dalam memutusnya,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button