
Ringgit mencatatkan penambahan nilai keseluruhan sebanyak 2.7% berbanding dolar
PADA tahun 2024, ringgit mencatatkan penambahan nilai secara keseluruhan sebanyak 2.7% berbanding dolar AS.
Bank Negara dalam kenyataan berkata, ringgit juga merupakan satu daripada beberapa mata wang di Asia yang menambah nilai berbanding dolar AS pada tahun 2024 selain dolar Hong Kong dan baht Thailand, sementara mata wang serantau lain mengalami penurunan nilai.
Selain itu, ringgit juga menambah nilai berbanding mata wang utama lain sepanjang tahun 2024, termasuk dolar Singapura, won Korea dan yen Jepun, dengan penambahan nilai keseluruhan dicatatkan berbanding rakan-rakan
perdagangan utama Malaysia (Kadar Pertukaran Efektif Nominal atau Nominal Effective Exchange Rate, NEER pada tahun 2024: +7.5%).
Keadaan ini berlaku meskipun ringgit menurun nilai berbanding dolar AS (-8.1%) serta berbanding rakan-rakan dagangan utama (NEER: -3.4%) pada suku keempat tahun 2024, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang lebih luas.
Pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS yang lebih kukuh berikutan jangkaan pasaran kewangan yang dinilai semula berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil pada tahun 2025 serta penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur yang berpunca daripada ketidakpastian dasar di bawah
pentadbiran AS yang baharu.
Pada tahun 2025, pada asas sejak awal tahun sehingga kini (setakat 12 Februari 2025), ringgit menambah nilai sebanyak 0.1% berbanding dolar AS dan menurun nilai sebanyak 0.3% pada asas NEER berbanding rakan-rakan
dagangan utama Malaysia.
Faktor luaran dijangka terus mempengaruhi kadar pertukaran ringgit. Meskipun begitu, prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit.
BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur. – SM