
Rezeki Tak Disangka, Hadiah 1KG Emas Bernilai RM500,000 Jadi Peluang Balas Jasa Ibu Bapa
DALAM kehidupan, ada rezeki yang hadir tanpa disangka-sangka. Itulah yang dialami oleh dua individu bertuah yang menjadi pemegang terawal ‘Golden Ticket’ dalam kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya. Mereka membawa pulang hadiah utama berupa emas seberat 1 kilogram (KG), tajaan GB Gold Malaysia yang dianggarkan bernilai RM500,000.
Muhammad Abdul atau lebih dikenali sebagai Apek, seorang pelajar yang membeli wafer emas edisi terhad GB Gold x Bulan Bintang, dan Muhammad Syafiq Abdullah, seorang juruteknik yang mendapatkan produk Bulan Bintang, tidak pernah menyangka bahawa pembelian serendah RM200 mampu mengubah nasib mereka.
Berasal daripada keluarga sederhana, kemenangan ini memberi impak besar dalam kehidupan Apek dan Syafiq.
Bagi Apek, hadiah berharga ini membuka peluang untuknya membalas jasa ibu bapanya yang banyak berkorban demi membesarkannya.
“Jika ada rezeki, saya mahu membawa mak dan ayah menunaikan haji tahun ini kerana mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Kehidupan kami sederhana, dan kemenangan ini dapat membantu keluarga serta merealisasikan impian mereka untuk ke Makkah,” katanya.
Apek turut berkongsi kisah kesusahan hidup keluarganya dahulu, apabila bapanya perlu berjimat untuk memastikan keperluan keluarga mencukupi.
“Dulu, setiap kali gaji masuk, ia habis dengan cepat untuk keperluan asas keluarga.
“Kadang-kadang, saya tertanya-tanya bagaimana mereka mampu membesarkan kami adik-beradik. Alhamdulillah, mereka berjaya mendidik kami dengan baik, dan kini giliran saya untuk membalas jasa mereka,” tambahnya.
Sementara itu, Syafiq yang juga pemegang ‘Golden Ticket’ Bulan Bintang terawal baru sahaja bertunang pada Februari lalu. Kemenangan ini dianggap sebagai rezeki yang hadir tepat pada masanya.
“Saya merancang untuk berkahwin pada penghujung tahun ini, dan kemenangan ini sangat bermakna bagi persiapan majlis perkahwinan saya.
“Selain itu, saya juga ingin membawa ibu ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah,” katanya dengan penuh syukur.
Dalam pada itu, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, meluahkan rasa terharu apabila mengetahui niat baik kedua-dua pemenang untuk memanfaatkan hadiah kemenangan mereka.
“Saya doakan segala yang terbaik buat mereka. Dengan niat yang sebegini murni, Insya-Allah, Allah akan permudahkan urusan mereka.
“Kemenangan ini bukan sekadar rezeki, tetapi juga peluang untuk mereka menggembirakan insan tersayang,” katanya.
Majlis pengumuman pemenang hadiah utama kempen Terrrrpaling Raya Bulan Bintang diadakan di cawangan GB Gold Shah Alam, baru-baru ini, dengan kehadiran pengasas GB Gold, Shahfizzam Moideen atau lebih dikenali sebagai Tuan GB.
Setiap tahun, kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya terus mencipta fenomena dengan pelbagai hadiah menarik untuk para pelanggan.
Bagi edisi kali ini, Bulan Bintang bekerjasama dengan GB Gold Malaysia yang menaja emas seberat 1 KG bernilai RM500,000.
Sebelum ini, kempen sama turut meraikan Muhammad Amirul Akmal Ishak, 24, sebagai pemenang pakej menunaikan Haji.
Kolaborasi antara Bulan Bintang dan Kahf itu memberikan jejaka dari Kedah ini pakej menunaikan Haji di Tanah Suci Makkah bernilai RM80,000, tajaan jenama produk dandanan lelaki, Kahf.
[embed: https://vt.tiktok.com/ZSr6Udh5u/ ]Kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya tahun ini turut menampilkan kerjasama bersama jenama terkenal seperti GB Gold, Kahf, Hausboom, AirAsia dan banyak lagi.