Restoran berputar Menara KL ditutup atas arahan mahkamah
RESTORAN berputar yang terkenal di Menara KL telah ditutup oleh pengurusannya berikutan perintah pengosongan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Memetik laporan Free Malaysia Today, restoran Atmosphere 360 telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengosongkan unit sewa mereka di Menara KL sebelum 4 Januari 2024.
Perintah itu diminta oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. dan pemiliknya sekarang Hydroshoppe Sdn. Bhd. terhadap pemilik restoran, Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd.
Ketika dihubungi FMT, Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen, Ringo Kaw, mengesahkan penutupan itu dan berkata beliau terkejut sebaik menerima notis itu.
“Bailif Mahkamah Tinggi muncul di restoran kami pagi semalam dan mengarahkan kami tutup, dan terdapat ramai pelanggan yang makan pada masa itu.
“Sambutan Krismas dan Tahun Baru hampir tiba dan tempahan kami telah dilanjutkan ke tahun depan. Jadi kami tiada pilihan selain menawarkan bayaran balik kepada pelanggan kami. Saya berasa sangat tidak berdaya.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat melayan kami dengan adil,” kata Kaw kepada FMT.
Kaw berkata sebelum Hydropshoppe mengambil alih pengurusan Menara KL, pengurusan sebelum ini secara lisan menjanjikan restoran itu dilanjutkan tempoh penyewaan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, katanya, pengurusan baharu itu hanya membenarkan restoran itu kekal sehingga akhir tahun.
“Kami juga telah membawa perkara itu ke mahkamah kerana pengambilalihan (Menara KL oleh Hydroshoppe) sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya. – SM