CelotehRencah Hidup

Redha, sabar tika diuji, resipi cencaru sumbat kelapa kali ini!

Norliza Abd. Rahman

APABILA sebut soal redha, bukan semua orang mampu nak redha tatkala menerima ujian dari Allah swt dengan seikhlas hati iaitu tenang dan sabar menerima ujian tersebut.

Jika tidak mempunyai kekuatan dalaman sekuat kerikil dan melatih jiwa untuk menerima sesuatu ujian yang maha hebat jangan terkejut jika anda sebenarnya sedang merosakkan diri sendiri.

Seorang ustaz pernah pesan, untuk menjadi seorang yang redha kita perlu sentiasa melatih diri untuk menerima ujian yang bakal menerpa pada bila-bila masa kerana kita tidak tahu bila ia akan datang, ibarat kematian yang kita tidak tahu bila ia akan berlaku.

Suka atau tidak sebagai hambanya kita tetap akan diuji dari sekecil-kecil ujian sehinggalah sebesar-besar ujian. Kekuatan dalaman amat penting untuk menerima takdir dan ketentuan yang telah tersurat untuk kita.

Jika anak kita sudah cukup bersedia dan melakukan sebaik mungkin dalam peperiksaan namun keputusan yang diperoleh tetap menghampakan adakah kita redha?

Sudah pasti akan terlintas di fikiran untuk menyalahkan si anak dan guru yang mengajar tanpa melihat kelemahan diri sendiri yang mungkin terlupa untuk berdoa demi kejayaan anak.

Jika pasangan suami isteri diuji dengan masalah dalam perkahwinan adakah mereka mampu redha? Masing-masing pasti akan berusaha untuk mempertahankan diri dan menyalahkan satu sama lain tanpa menyedari ia mungkin satu ujian untuk mereka menerima takdir yang mungkin membawa kepada satu perpisahan atau merapatkan lagi hubungan tersebut.

Mak Teh tertarik dengan kata-kata seorang ustaz, manusia tidak boleh lari daripada ujian. Setiap orang inginkan kebahagiaan, namun tidak semua dapat mengecapinya. Tidak ada seorang manusia yang inginkan ujian, tetapi setiap orang akan mendapat ujian.

Apa pilihan yang kita ada? Marah? Menyumpah? Memaki hamun? Menyebarkannya di media sosial? Berkongsi dengan rakan-rakan? Adalah kita akan puas bila melepaskan rasa tidak puashati itu kepada dunia? Jika ya kita belum lagi melepasi ujian untuk redha.

Merawat hati yang sakit tidak mudah, melepaskan kemarahan tanpa arah jangan sesekali dijadikan pilihan. Tapi sedarkah betapa orang yang sabar dan redha itu akan merasai nikmat ketenangan yang sukar diungkapkan. Bak kata guru Mak Teh ketenangan itu syurga.

Hilang kerja, hilang barang, hilang perniagaan, hilang duit, hilang kereta, hilang motor, hilang anak, hilang ibu, hilang bapa, hilang suami, hilang isteri, hilang rumah, hilang kawan… ini semua kehilangan yang menyakitkan, jika tidak mampu redha silap hari bulan boleh sakit jiwa.

Seperti kes pelawak terkenal yang juga deejay radio Hotfm, Syuk yang kini diuji dengan masalah rumah tangga akibat orang ketiga.

Bagi Mak Teh isteri Syuk sudah sampai tahap hilang sabar sehingga mendedahkan kepada umum perbuatan curang suaminya dan sang suami pula gagal mengawal diri dari terjebak dengan godaan syaitan.

Seeloknya kawallah emosi, bila diuar-uarkan sebegitu rupa yang aibnya diri sendiri dan keluarga. Masing-masing dapat malu dan suami sendiri pun kena gantung tugas.

Lain kali belajarlah dari Erra Fazira, dua kali bercerai tidak pernah sekali dia bercerita tentang punca penceraiannya kepada umum. Semuanya tersimpan kemas.

Sakit memanglah sakit. Sapa kata tak sakit tapi adakah dengan mendedahkan kepada umum masalah anda akan selesai?

Takde maknanya… tukang curah api ramailah, tukang membawang, tukang tokok tambah, tukang sindir, tukang kepoh dan segala bagai tukang bersedia ambil tempat. Tapi akhirnya yang menanggung sakitnya diri sendiri juga, bukannya mereka.

Maka belajarlah untuk redha jika diuji kerana ujian datang tanpa diminta. Ingatan juga untuk diri sendiri, belajar untuk redha mungkin satu hari nanti Allah uji jodoh tak panjang.

Jom masuk dapur minggu ni kita masak cencaru sumbat kelapa.

Bahan-bahannya

4 ekor ikan cencaru dibelah belakang 

Kunyit serbuk @ kunyit hidup

1/2 biji kelapa parut

Garam

 Bahan untuk dikisar

15 tangkai cili merah

7 ulas bawang merah

1 batang serai

2 inci kunyit hidup

1 inci halia

Sedikit belacan

1 sudu besar udang kering

Gula

Garam

Cara cara:

Lumurkan ikan dengan garam kunyit

Kisar bahan kisar dengan pengisar kering dan setelah hancur, dimasukkan sedikit kelapa parut,  kunyit, garam, gula dan air asam jawa.

Sumbatkan bahan-bahan kisar di belakang ikan dan sedia untuk digoreng atau dibakar menggunakan air frayer. Selamat mencuba. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button