Nasional
Rakyat berhak dapat jawapan tentang misteri MH370 – Anwar
KERAJAAN akan memberikan kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 membuahkan hasil kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, untuk itu kerajaan akan mengimbangi keperluan mencari pesawat tetapi pada masa sama harus memastikan penggunaan dana rakyat dilakukan dengan berhemah.
“Selepas lebih sedekad pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dari radar, masih banyak persoalan dan misteri belum lagi terungkai.
“Bukan sahaja keluarga dan waris malah rakyat juga berhak untuk mendapatkan jawapan akan segala persoalan dan justeru itu, kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi sidang medianya pada Jumaat lalu berkata, Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.
Operasi pencarian di dasar laut akan tertumpu di satu lokasi baharu yang dianggarkan berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Menurutnya, misi pencarian itu berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tidak ditemukan.