Negeri

Raja Perlis titah ucapan selamat hari raya Aidiladha

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang dikasihi, semua kerabat DiRaja serta rakan taulan di mana sahaja mereka berada.

‘Didoakan agar segala ibadah yang kita sama-sama laksanakan diredhai dan diberkati oleh Allah SWT serta mampu menyucikan hati serta membuka 1001 pintu rezeki untuk kita yang telah berjaya menikmati zatnya, Insyaallah’, titah Raja Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri’ayah dan pemeliharaan ke hadapan Baginda. Alhamdulillah dan syukur kehadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan Baginda amat baik serta dalam ‘afiyah. Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis turut bersyukur dan menzahirkan terima kasih atas segala doa dan ucapan seluruh rakyat jelata yang dikasihi.

Baginda berdua turut menitahkan ucapan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada semua yang mempersembahkan ucapan kepada Baginda berdua melalui pelbagai medium yang tidak dapat dijawab dan juga dibalas satu persatu.

Demikian maklumat menurut kenyataan Istana Arau.

Pada kesempatan yang sama, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1445H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum” kepada seluruh Muslimun dan Muslimat di negeri Perlis.

Baginda berdua dan juga anakanda-anakanda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana, dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail kini berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji.

Baginda berdua turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk sentiasa bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, berpuasa pada hari-hari sebelumnya serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua.

Semoga segala ibadah korban yang dilaksanakan juga, akan diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah Azza Wajalla.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button