Acara

Raja Perlis berangkat ke majlis berbuka puasa bersama anggota infantri, renjer dan polis tentera

ARAU 24 Mac – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa bersama warga Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dan Markas Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia di Dewan Serbaguna Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder Mata Ayer pada petang semalam.

Turut mengiringi Baginda adalah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut dengan penuh hormat oleh Pengerusi Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Brigedier Jeneral Shamsulakmar Hj. Ismail dan Panglima Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim.

Majlis berbuka puasa yang dianjurkan secara tahunan oleh pihak RRD dan KPTD dan pada kali ini bersama-sama Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia bertujuan bagi mengeratkan hubungan antara kepimpinan tertinggi tentera dengan anggota yang bertugas.

Para tetamu turut menunaikan solat Maghrib, Isyak, dan Sunat Terawih secara berjemaah di surau kem diimamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mejar (Kehormat) Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button