
Raja Muda Perlis titah seluruh lapisan masyarakat eratkan silaturrahim sempena menjelang Syawal
KANGAR 30 Mac – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar seluruh lapisan masyarakat mengambil peluang sempena bulan Syawal untuk terus mengeratkan silaturrahim dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan melancarkan simbolik sumbangan Bantuan Baikpulih Mikro Kediaman berjumlah RM3.06 juta yang akan diagihkan kepada semua 102 kariah masjid di seluruh negeri Perlis.
Bantuan tersebut merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada golongan yang memerlukan. Proses baik pulih akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing, dengan pemantauan dan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
Titah berkenaan dizahirkan sempena keberangkatan Baginda mengetuai Program MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Kampung Behor Empiang, dekat Kangar baru-baru ini.
Program kayuhan ini merupakan antara platform utama MAIPs untuk menyantuni masyarakat serta menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan asnaf di seluruh negeri, termasuk sepanjang bulan Ramadan.
Meskipun keadaan cuaca tidak menentu, program tetap diteruskan dengan komitmen padu pelbagai pihak termasuk penyertaan ketua-ketua jabatan serta wakil agensi dari peringkat negeri dan juga Persekutuan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada tiga orang asnaf terpilih dalam edisi kali ini.
Setiap mereka menerima wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli, serta beras fidyah sebagai bantuan keperluan asas.
Asnaf yang disantuni ialah Siti Asa Ahmad, 73 tahun dari Jalan Hospital Kangar; Abdul Kahar Ismail, 43 tahun dan Sezali Saad, 58 tahun, kedua-duanya dari Kampung Behor Empiang.
FOTO