Raja Muda Perlis titah Selamat Menyambut Tahun Baru Cina
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan ‘Selamat Menyambut Tahun Baru Cina’ kepada Presiden dan juga seluruh ahli Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) atau juga dikenali sebagai ‘China Entrepreneurs Association in Malaysia’.
Titah baginda disampaikan sempena Ulang Tahun Ke-5 persatuan berkenaan dan juga memperingati ulang tahun ke-3 majalah rasminya iaitu ‘Malaysia-China Entrepreneurs’; surat khabar berbahasa Inggerisnya ‘Malaysia-China Insight’ dan juga aplikasi berita dwibahasa persatuan itu baru-baru ini.
Menurut Tuanku Raja Muda, setelah diundang berangkat menghadiri sambutan ulang tahun pertama dan kedua PUCM yang diadakan di ibu negara beberapa tahun yang lalu, serta berinteraksi secara langsung dengan pihak PUCM sebelum ini, baginda yakin bahawa Presiden dan juga para anggotanya sentiasa positif dan berusaha keras bagi memperkukuhkan lagi aktiviti dalam membina ‘jambatan’ persahabatan serta kerjasama di antara Malaysia dengan negara China.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengimbau kembali kunjungan kepimpinan PUCM diketuai oleh Datuk Keith Li Zhongping yang sungguh bermakna ke Perlis pada bulan November 2017, yang dianggap sebagai bukti dan penyatuan persahabatan antara PUCM dengan negeri ini. Program tersebut memberi peluang kepada anggota PUCM untuk berinteraksi dengan ketua-ketua jabatan serta agensi Negeri dan Persekutuan, golongan pelajar dan juga masyarakat setempat untuk membantu meningkatkan lagi pemahaman mereka mengenai aspirasi pembangunan serta kehidupan masyarakat di negeri ini.
Semasa program tersebut juga, pihak PUCM dengan bermurah hati telah menyampaikan beberapa sumbangan sosial kepada masyarakat setempat tanpa mengira bangsa melalui pelbagai acara amal dan usaha derma yang diaturkan.
Untuk rekod, hasil daripada lawatan tersebut juga pihak Kerajaan Negeri Perlis telah turut dijemput menghadiri ‘Pameran Perdagangan Teknologi Pintar China (SCITE) Pertama di Malaysia’ pada bulan Disember 2019 yang dihoskan oleh PUCM di Pusat Pameran Mid Valley Kuala Lumpur. Pameran tersebut menampilkan penyertaan syarikat-syarikat yang mewakili produk Teknologi Pintar dan Pintar Buatan dari China seperti konsep bandar pintar, pelbagai aplikasi robotik, teknologi drone serta pelbagai produk pintar yang lain.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap melalui SCITE ini, Perlis akan mendapat platfom pendedahan untuk mempelawa pelaburan teknologi dari China.
Selain daripada itu, pihak PUCM juga telah membentuk ‘chapter’ Kecerdasan Buatan, yang bertujuan untuk memperkuatkan lagi hubungannya dengan pihak Kerajaan dan juga sektor swasta di seluruh negara. Tuanku Raja Muda berharap PUCM akan turut menubuhkan ‘chapter Perlis’ pula pada masa yang akan datang nanti bagi meningkatkan lagi hubungan perniagaannya dengan negeri ini supaya peluang-peluang pekerjaan baru dengan pendapatan yang lebih tinggi kepada rakyat mampu direalisasikan.