Berita

Raja Muda Perlis titah pengurusan masjid diperkemas

Masjid merupakan lambang terhadap keteguhan dan maruah umat Islam. Di dalamnya membuatkan kita banyak mengingati Allah SWT, di mana ajaran dan dakwah disebarkan serta ukhuwah dan persaudaraan dieratkan.

Justeru masjid memainkan peranan yang begitu signifikan ke arah memperkuat dan mengangkat tahap kehidupan umat Islam, bukan sekadar di dunia, bahkan di akhirat.

Atas maksud itulah, setiap daripada Pengurusan Utama Masjid-masjid Kariah di seluruh negeri Perlis perlu sedar mengenai amanah serta tanggungjawab bagi mengimarah, mentadbir dan menguruskan rumah Allah ini dengan sebaiknya. Maka, laksanakanlah segala tanggungjawab ini dengan mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan, perkemaskanlah aspek dokumentasi serta perhalusilah pengurusan kewangan dengan penuh teliti dan berintegriti.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan pelancaran ‘Program Kesedaran Amanah Pengurusan Masjid Negeri Perlis bagi tahun 2021’ yang diadakan dalam talian secara hibrid anjuran bersama oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Agensi-agensi Agama Islam Negeri Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Kangar hari ini.

Para peserta melibatkan kehadiran Pengerusi dan Setiausaha Ahli Jawatankuasa Masjid dan Amil daripada4 masjid utama dan 97 buah masjid kariah di seluruh negeri Perlis di bawah pentadbiran MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) yang diundang dan dibahagikan kepada tiga zon itu juga diberikan perkongsian nasihat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri serta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai keselamatan kebakaran dan litar pintas sebagai peringatan kepada pihak pengurusan masjid di seluruh negeri Perlis supaya mengambil iktibar daripada peristiwa kebakaran masjid yang berlaku baru-baru ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button