Nasional

Raja Muda Perlis titah anggota keselamatan sentiasa agresif dan ketat dalam menjaga sempadan negara

PADANG BESAR 25 Mac – Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Adalah menjadi tanggungjawab utama bagi anggota keselamatan untuk memastikan kawalan sempadan negara dijalankan dengan lebih ketat dan agresif, terutamanya dalam usaha membanteras ‘lorong tikus’ serta sebarang aktiviti jenayah yang melibatkan rentas sempadan’.

Baginda bertitah, ‘Anggota keselamatan di sempadan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara serta keutuhan wilayah sentiasa terjamin dengan mengawal pergerakan individu, barangan, dan kenderaan, serta mencegah jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI)’.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sumbangan Kuih Raya Kerajaan Negeri Perlis Kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri Di Sempadan Malaysia-Thailand di Pos TS 11, Pasukan Gerakan Am (PGA), Padang Besar.

Keberangkatan tiba Baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Shahrum Hashim.

Majlis tahunan ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada Pasukan Keselamatan yang bertugas tanpa mengenal penat lelah sepanjang musim perayaan, demi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat Negeri Perlis terus terpelihara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis serta mengurniakan sumbangan kuih raya kepada 12 wakil agensi terbabit sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.

Selain itu, Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke pameran kenderaan perisai serta khemah medan dan ikhtiar hidup—kemahiran asas yang menjadi sebahagian daripada ‘skill set’ utama anggota keselamatan, khususnya dalam situasi genting atau darurat.

Tuanku Raja Muda Perlis turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih, serta berpesan kepada seluruh anggota keselamatan agar menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, rasa tanggungjawab, dan integriti yang tinggi demi kesejahteraan serta keselamatan tanah air yang tercinta.

Baginda juga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Polis ke-218 yang jatuh pada selasa 25 Mac 2025.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button