RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengadap oleh delegasi pengurusan dari MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Delegasi dari MBSB Bank tersebut diketuai oleh Penolong Naib Presiden Jualan Digital Bahagian Perniagaan Digitalnya, Normushamsahuda Salleh.
Turut serta ialah Penolong Naib Presiden Liputan Pelanggan Jabatan Deposit Pengguna Bahagian Perbankan Pengguna, Datuk Saiful Amri Ab Manaf dan Ketua Deposit Pengguna, Mohd Azahari Tan Sri Hassan Azahari.
Hadir sama ialah rakan strategik MBSB Bank iaitu Paynet Networks Malaysia Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Institusi Kewangan (Komersial), Rahizan Ramatullah.
Pihak MBSB Bank menyembah maklumkan perancangan mereka bagi negeri Perlis dan berhasrat untuk bekerjasama dengan pelbagai organisasi khususnya institusi-institusi pengajian tinggi yang ada dan juga Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pada masa yang sama pihak Bank MBSB terus berhasrat untuk menjadi penaja utama kepada pertandingan golf ‘Perlis Open 2024’ yang akan dituanrumahkan oleh Kelab Golf Putra (KGP) Perlis.
Turut hadir ke sesi mengadap tersebut adalah Kapten KGP Perlis, Datuk Hamdan Bahari dan Setiausahanya, Hamidon Abd Hamid.
Kelab Golf Putra Perlis baru-baru ini telah menganjurkan Kejohanan Golf Piala Tuanku Presiden yang berlangsung di Sungai Batu Pahat dalam usaha merancakkan kempen Tahun Melat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Beberapa kejohanan lain juga bakal berlangsung termasuklah ‘Balik Kampung sempena Aidilfitri’, ‘Royal Perlis Celebration Golf 2024’ dan lain-lain lagi.
Orang ramai di Perlis yang berhasrat untuk menjadi ahli Kelab Golf Putra dialu-alukan untuk hadir mendaftarkan diri sebagai ahli di rumah kelab di Sungai Batu Pahat. – SM
BACA Raja Muda Perlis rasmi Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara Kali Pertama 2024