Rencah Hidup

Raja Muda Perlis sarankan masyarakat seimbangkan waktu rehat dengan kerja

SIMPANG AMPAT 18 Feb. – Antara faktor utama yang mengganggu ‘mood’ kerja seseorang individu adalah apabila terpaksa bekerja lebih masa secara berterusan sedangkan badan dan minda sudah penat.

Kerap melakukan kerja lebih masa ini bukan sahaja mengganggu ‘work-life balance’ tetapi turut memberi kesan kepada kesihatan mental apabila minda terlalu penat untuk bekerja namun masih dipaksa melakukannya.

Demikian menurut kenyatan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang diadakan di sekitar Simpang Ampat baru-baru ini.

Tambah Baginda, ‘Salah satu cara untuk cipta atau tingkatkan ‘mood’ kerja yang paling mudah adalah dengan ambil masa berehat apabila perlu. Mengikut kajian seseorang individu yang mengambil masa untuk berehat selama 15 minit selepas 45 minit bekerja dengan tekun, berjaya menyiapkan lebih banyak tugasan berbanding individu yang berterusan membuat kerja tanpa rehat’.

Kayuhan MAIPs Peduli ini bukan sekadar aktiviti berbasikal, tetapi satu usaha murni dalam menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Turut serta dalam kayuhan ini ialah ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan, membuktikan komitmen bersama dalam memastikan semua pihak memainkan peranan dalam usaha mengurangkan kadar asnaf di negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Maryam Dahari, 75 tahun dari Kampung Tok Pulau, Ishak Saaban, 74 tahun dari Kampung Cantik Bangun dan Siti Haminah Lah, 76 tahun juga dari kampung yang sama.

Setiap daripada mereka menerima bantuan berupa wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah, sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang.

Kayuhan ini bukan hanya simbol keprihatinan, tetapi juga lambang kesatuan dan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button