Acara

Raja Muda Perlis saran mahasiswa teroka, kuasai AI

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Mahasiswa wajar menerokai dan mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang ‘Artificial Intelligence (AI)’ dan seterusnya menguasai teknologi ini dengan sebaiknya’.

Baginda bertitah, ‘Mahasiswa juga perlu mengambil pendekatan berinovatif dan eksplorasi kendiri dengan teknologi ini yang bukan sahaja membantu mempercepatkan proses sesuatu pekerjaan, malah dapat meningkatkan produktiviti serta menawarkan peluang kerjaya berkaitan inisiatif ini’.

“Teknologi AI ini perlu dikuasai dan dimanfaatkan dengan sebaiknya sebagai alatan yang akan meningkatkan produktiviti kerja dan berkebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks dalam jangka masa yang singkat”.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui rakaman video sewaktu sidang kelapan Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro-Canselor UniMAP berkenan berangkat bagi menyempurnakan istiadat konvokesyen pada petang itu.

Related Articles

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UniVersiti, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Naib Canselor Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.

Seramai 374 graduan telah terlibat pada sidang kelapan ini terdiri daripada graduan Diploma serta Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) dalam sidang terakhir bagi tahun ini tersebut.

Antara yang menerima adalah Diploma kejuruteraan komputer (85 graduan), Diploma kejuruteraan elektronik (66 graduan), Diploma kejuruteraan Metalurgi (46 graduan), Diploma kejuruteraan pembuatan (63 graduan), Master Profesional Pengurusan Projek Pembinaan (7 graduan), Master Profesional Pengurusan Fasiliti (10 graduan), Bacelor Profesional Pengurusan Pembinaan (28 graduan), Bacelor Profesional Pengurusan Fasiliti (51 graduan), Bacelor Profesional Pengurusan Perniagaan (67 graduan), Diploma Profesional Penyeliaan Tapak Pembinaan (5 graduan), Diploma Profesional Pengurusan Fasiliti (8 graduan), Diploma Profesional Pengurusan Trafik Pembinaan (1 graduan), Diploma Profesional Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) (3 graduan), Diploma Profesional Teknologi Industri dan Pengurusan (20 graduan) dan Diploma Profesional Teknologi Industri (20 graduan).

Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyampaikan Pingat Emas Naib Canselor (Diploma) kepada Dinul Aisyah Mohd Sani dari Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Thivaagat A/L Segeranazan dari Diploma Kejuruteraan Pembuatan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button