Raja Muda Perlis lawat Kemudahan Infrastruktur Kereta Api Siemens
LONDON: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat mengadakan lawatan Kemudahan Infrastruktur Kereta Api Siemens Mobility Limited yang terletak di Chippenham, Wiltshire, United Kingdom.
Menurut kenyataan media Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd,, kilang tersebut mempunyai sejarah melebihi 100 tahun dalam industri kereta api dan telah berkembang menjadi salah satu pusat terkemuka untuk pembangunan serta pengeluaran teknologi rel maju di peringkat global. Pada mulanya ia ditubuhkan sebagai sebuah pusat yang lebih kecil, namun kemudahan ini telah berkembang menjadi pusat kecemerlangan untuk pembangunan sistem isyarat dan teknologi infrastruktur kereta api terkini, dan seterusnya memberikan sumbangan yang signifikan kepada projek kereta api di seluruh dunia.
Keberangkatan Baginda diiringi sama oleh Pengerusi, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohamed Azumi Mohamed (Bersara) dan
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. Datuk Seri (Dr) Subramaniam Pillai.
Hadir sama ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar.
Menyambut Baginda dan delegasi ialah para pegawai kanan Siemens Mobility Limited terdiri daripada Steve Barry, Pengarah Operasi Pembuatan, Olcay Yilmaz, Pengarah Kewangan, Gary Fortune, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Ben Chong Kok Pen, Ketua Pegawai Eksekutif, Siemens Mobility Sdn Bhd.
Kunjungan Tuanku Syed Faizuddin Putra ke fasiliti ini menekankan komitmen berterusan untuk merealisasikan inisiatif pendigitalan sistem kereta api Malaysia, selaras dengan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani oleh Siemens Mobility dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Berhad semasa InnoTrans 2024 di Berlin baru-baru ini. Ia juga mencerminkan dedikasi Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi membangunkan rangkaian kereta api yang lebih maju, efisien, dan bertaraf dunia.
Semasa lawatan, Tuanku Raja Muda telah dipersembahkan taklimat mengenai sejarah kemudahan tersebut, peranannya dalam kemajuan teknologi kereta api moden, serta inovasi terkini dalam sistem isyarat digital, pengurusan operasi kereta api, serta teknologi keselamatan dan automasi.
Lawatan ini juga menggambarkan bagaimana teknologi ini akan memainkan peranan penting dalam usaha pendigitalan sistem kereta api Malaysia melalui kerjasama strategik antara Siemens Mobility dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd.
Foto : Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd.