Raja Muda Perlis lancar anggaran belanjawan, pendapatan MAIPs
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Anggaran Pendapatan dan Belanjawan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun 2025. Pelancaran tersebut menandakan permulaan pelaksanaan strategi MAIPs yang berfokus kepada keberlanjutan dan kebajikan umat Islam di negeri ini.
Belanjawan tersebut telah diperkenankan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan diwartakan selaras dengan kehendak Seksyen 82 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis, menjadikannya panduan utama bagi perancangan kewangan MAIPs.
Antara keutamaan dalam belanjawan ini adalah penjajaran pelbagai projek strategik yang selaras dengan Pelan Strategik MAIPs bagi kohot ini yang akan tamat pada tahun 2025. Tumpuan diberikan kepada merangka kesinambungan usaha MAIPs dalam memperkukuh kedudukan institusi tersebut sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dalam ucapannya menyatakan bahawa belanjawan kali ini dirangka dengan mengambil kira keperluan semasa dan cabaran masa depan. “Belanjawan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan golongan asnaf, tetapi juga memacu inovasi dan pembangunan mampan melalui pelbagai inisiatif baharu seperti Latihan Penempatan Pekerjaan dan projek-projek wakaf strategik. Semua ini adalah untuk memastikan kelestarian MAIPs terus terjaga demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya pelaksanaan Pelan Tindakan Agihan Holistik bagi memastikan agihan bantuan kepada golongan yang memerlukan dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh. “Kami komited untuk terus memperkasakan golongan asnaf agar mereka bukan sahaja menerima bantuan, tetapi juga mampu berdikari melalui program-program pembangunan ekonomi yang ditawarkan,” tambahnya.
Beberapa penambahbaikan telah diumumkan, termasuk peningkatan skim bantuan sara hidup dan Skim Bantuan Pendidikan yang bertujuan untuk membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Selain itu, program baharu seperti Latihan Penempatan Pekerjaan di bawah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) turut diperkenalkan bagi memberi peluang kepada golongan asnaf untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
Dalam aspek pendapatan, MAIPs turut melaksanakan langkah-langkah untuk mempelbagaikan sumber kewangan demi memastikan kestabilan kewangan jangka panjang. Ini termasuk pelaksanaan projek baharu yang berkaitan dengan wakaf, yang bakal menjadi salah satu teras utama dalam memperkukuh kewangan institusi.
Belanjawan 2025 ini juga menitikberatkan pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs, yang dirangka untuk memastikan bantuan diagihkan secara lebih menyeluruh dan berkesan kepada mereka yang layak.
Tuanku Raja Muda Perlis dalam titahnya juga menyatakan harapan agar Belanjawan MAIPs 2025 menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kesejahteraan umat Islam di Perlis serta menyumbang kepada pembangunan negeri secara keseluruhan. Baginda turut menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan belanjawan ini demi manfaat bersama.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat ke program Hijrah Minda MAIPs Siri Pertama tahu ini yang telah dianjurkan oleh pihak MAIPs di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5 Jalan Kuala Perlis.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang kepada 210 orang asnaf terpilih yang terdiri daripada anak kariah Bangsal Lebah, kariah Behor Masjid dan juga kariah Kota Kayang. Jumlah penuh sumbangan MAIPs kali ini ialah RM147,000.
Para asnaf menerima sumbangan ini, menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan turut disediakan ceramah menjauhi najis dadah dari AADK Negeri Perlis serta ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.