Pendidikan

Raja Muda Perlis ingatkan calon SPM terus tabah hadapi semua cabaran

Calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini mesti yakin bahawa kejayaan adalah hasil daripada usaha yang berterusan. Jangan pernah berputus asa, walaupun menghadapi cabaran. Setiap halangan adalah peluang untuk belajar dan menjadi lebih baik.

Mereka disarankan supaya memanfaatkan kesempatan tempoh terakhir ini untuk bertanya kepada pakar subjek, mendalami pelbagai teknik persiapan akhir, dan tidak ragu untuk mengemukakan soalan. Keberanian untuk bertanya adalah langkah pertama ke arah pemahaman yang lebih mendalam.

Selain itu, terus jalinkan perhubungan yang baik dengan rakan-rakan yang lain. Dalam suasana belajar yang kondusif, bertukar-tukarlah idea, berkongsi pengalaman, dan saling memberi sokongan.

Pembelajaran yang efektif bukan sahaja hanya berlaku dalam bilik darjah, tetapi juga melalui interaksi dan perbincangan dengan rakan sebaya yang mempunyai impian dan tekad positif secara bersama.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Mata Ayer baru-baru ini.

Kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan bagi meringankan beban hidup golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.

Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut menyertai kayuhan ini bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan semua pihak seterusnya memberikan impak ke tahap paling maksima.

Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk singgah menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini terdiri daripada Rosli Ishak 76 tahun, Abdullah Ayob 71 tahun dan Asiah Man 75 tahun kesemuanya dari Mata Ayer.

Setiap mereka menerima Kits MAIPs Peduli, bantuan wang tunai sebanyak RM700 beserta beras Fidyah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa singgah di Teratak Tokmah dan juga restoran Rumah Kupi yang terletak di Mata Ayer dan berkonsepkan rumah kayu tradisional sebagai sokongan kepada produk pelancongan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button