Raja Muda Perlis ajak rakyat bermunajat, berdoa
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh rakyat yang dikasihi, agar sentiasa memperteguhkan doa dan munajat kepada Allah Azza Wajalla supaya segala musibah dan ujian yang menimpa dunia, negara dan negeri tercinta ini segera hilang.
Dalam suasana seperti ini, baginda turut berpesan kepada semua agar memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah swt atas segala khilaf dan kesalahan dalam kehidupan.
‘Kita adalah hambaNya yang kerdil dan lemah serta amat bergantung harap kepadaNya. Laksanakanlah amalan untuk mengelak musibah dan bala seperti menggandakan sedekah dan menunaikan hak dan keadilan’.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menitahkan agar pihak pengurusan MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs) dan Jabatan Mufti memperbanyakkan nasihat, hebahan dan irsyad kepada seluruh rakyat untuk sama-sama mempertingkatkan taqwa kepada Allah yang maha esa serta melaksanakan amalan yang bertepatan dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menghadapi suasana pandemik ini.
Pada kesempatan yang sama juga, Tuanku Raja Muda turut mengulangi titah supaya semua rakyat di negeri ini saling ingat memperingati antara satu sama lain amalan kelaziman baharu kehidupan kita dengan mematuhi segala SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan serta dinasihatkan kepada semua agar sentiasa mempertingkatkan kawalan kesihatan dan keselamatan kendiri seperti memakai pelitup separuh muka, kerap mencuci tangan, mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya demi untuk kebaikan bersama dan terus membuktikan bahawa rakyat Perlis sesungguhnya hidup bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dalam erti kata yang sebenarnya.