MASAKAN Kurma Perlis semakin dikenali di bumi Gajah Putih apabila ia giat dipromosi di restoran dan juga hotel khususnya di wilayah selatan.
Terbaharu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sekali lagi berkenan melancarkan masakan ini pada Promosi Makanan Perlis di Hotel Le Erawan, Phang Nga, Thailand.
Pelancaran ini juga diadakan sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai Baginda Bersama Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil MAIPs ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand dari 26 hingga 28 April.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Pengurus Hotel Le Erawan, Narong Damprida.
Pelancaran ini juga diadakan sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang sedang berlangsung.
Penyediaan masakan kurma ayam dan daging ini dilakukan oleh Datuk Zul Aznam Haron dan Ashidan Mat Isa. – SM