Rabbani dan Hijjaz legenda nasyid bersatu di Konsert Rahmati Melaka
WALAUPUN industri muzik tempatan kini dipenuhi bakat-bakat muda dan genre baharu, siapa sangka kumpulan nasyid pelopor tanah air seperti Rabbani dan Hijjaz masih berdiri kukuh dan terus mendapat tempat di hati peminat.
Kedua-dua kumpulan legenda ini bakal menggegarkan pentas Melaka International Trade Centre (MITC) melalui Konsert Rahmati Melaka pada 13 dan 14 Disember, bermula jam 9.30 malam. Gandingan ini dijangka mengimbau nostalgia peminat dengan lagu-lagu malar segar mereka yang kekal relevan sepanjang zaman.
Menurut penganjur, Affizmusic Entertainment, konsert ini disokong oleh Tourism Melaka sebagai sebahagian daripada penutup Tahun Melawat Melaka 2024.
“Matlamat kami adalah untuk menghidupkan kembali kehebatan irama nasyid seperti era kegemilangannya pada 1990-an. Selain Rabbani dan Hijjaz, bekas anggota Raihan, Affad & Daqmie, serta artis jemputan seperti Zamani, Furhan XPose, Yasser Atak, dan Sazali MS turut memeriahkan acara ini,” kata wakil penganjur.
Selain hiburan, konsert ini diharap mampu menyuntik semangat keagamaan dan kesedaran sosial dalam kalangan penonton, khususnya ketika dunia menyaksikan krisis kemanusiaan di Palestin.
Penganjur juga mensasarkan kehadiran sekitar 3,000 penonton setiap malam untuk acara berdurasi satu setengah jam itu.
“Kapasiti dewan terhad kepada 3,000 orang, jadi peminat perlu mendapatkan tiket secepat mungkin bagi mengelakkan kekecewaan. Kami gembira melihat genre nasyid masih mempunyai peminat setia yang tidak putus menyokong,” tambahnya.
Konsert ini bakal menjadi detik bersejarah, mempertemukan nama-nama besar industri nasyid tanah air dalam satu pentas yang pasti dinantikan ramai.
Tiket Konsert Rahmati Melaka dijual pada harga RM158 (Law Kana Bainana ), RM128 (Intifada) dan RM88 (Iman Mutiara). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.ticket2u.com.my
Mengenai Affizmusic Entertainment
Sebuah organisasi yang menyediakan kemudahan seperti soundsystem, pentas artis-artis, pemain muzik dan banyak lagi terutama untuk perbadanan dan badan kerajaan Negeri Melaka.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi saudara Amin di talian +60122025019 atau emel ke [email protected].