Ekonomi

Pulau Perhentian destinasi Malaysia yang paling menarik minat pelancong

Pulau Perhentian muncul sebagai destinasi baharu yang paling pesat menarik perhatian pelancong antarabangsa yang melawat Malaysia, menurut platform pelancongan digital Agoda.

Senarai ’Horizon Baharu’ platform tersebut turut menyenaraikan Shah Alam sebagai destinasi domestik yang mencatatkan lonjakan populariti tertinggi bagi pelancong Malaysia.

Sementara itu, Pulau Batam di Indonesia meraih tempat pertama sebagai destinasi antarabangsa yang paling diminati oleh warga Malaysia yang melancong ke luar negara.

Senarai ‘Horizon Baru’ Agoda yang diterbitkan setiap tahun, membandingkan kedudukan tempahan penginapan dari dua tahun sebelumnya untuk mengenal pasti destinasi domestik dan antarabangsa yang mencatat lonjakan populariti tertinggi.

Kemunculan Pulau Perhentian, Terengganu sebagai destinasi baharu yang semakin menarik minat pelawat antarabangsa mencerminkan peningkatan daya tarikan pantai-pantai yang indah di Malaysia.

Menduduki tempat ketiga dalam senarai destinasi paling popular untuk “slow travel” di Asia oleh Agoda awal tahun ini, pulau peranginan tersebut adalah antara destinasi yang mencatatkan purata tempoh penginapan paling panjang dalam kalangan pelancong.

Ia menjadi tumpuan pencinta pantai dan juga penyelam kerana lautnya yang biru, ekosistem marin yang kaya, dan usaha pemuliharaan terumbu karang di pulau tersebut.

Dengan adanya perkhidmatan penerbangan pesawat laut peribadi, pulau ini kini juga lebih mudah untuk
dikunjungi.

Bagi pelancong domestik, kemunculan Shah Alam dalam senarai tersebut telah menjadi satu kejutan.

Walaupun sering dianggap sebagai kawasan perumahan dan perindustrian, ia juga menawarkan pelbagai pilihan destinasi percutian mesra keluarga.

Antara tarikan di Shah Alam termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Taman Botani Negara, dan kafe-kafe yang menjadi tumpuan pengunjung di hujung minggu.

Lokasinya yang berdekatan dengan Kuala  Lumpur dan kos perbelanjaan yang berpatutan menjadikannya destinasi yang menarik bagi warga Malaysia yang ingin bercuti singkat tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.

Pulau Batam muncul sebagai destinasi popular dalam kalangan warga Malaysia yang melancong ke luar negara.

Kos perbelanjaan yang rendah, kemudahan pengangkutan feri, serta ketersediaan pelbagai aktiviti rekreasi termasuk sukan air, golf, go-kart, dan aktiviti pantai, menjadikan Batam sebagai destinasi idaman bagi pelbagai segmen pelancong.

Daya tarikannya turut diperkukuh dengan kehadiran pusat membeli-belah bebas cukai dan hidangan makanan tempatan yang lazat.

Pulau ini menawarkan pengalaman percutian yang seimbang antara ketenangan dan pengembaraan, menjadikan Batam pilihan yang semakin popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Fabian Teja, Pengarah Negara untuk Malaysia dan Brunei di Agoda berkata, “Kami amat teruja dengan peningkatan minat pelancong antarabangsa terhadap Pulau Perhentian, yang mencerminkan kejayaan usaha berterusan kami untuk mempamerkan pelbagai tarikan di Malaysia.

“Begitu juga, populariti Shah Alam yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong domestik menunjukkan perubahan dalam pilihan destinasi percutian warga Malaysia, yang kini lebih berminat untuk meneroka keunikan destinasi tersembunyi di sekitar mereka.

“Ini menandakan satu kemunculan horizon baru dalam tahun 2025 bagi pelancongan domestik. Di Agoda, kami komited untuk menjadikan perjalanan ini lebih mudah dan menyeronokkan dengan menawarkan tawaran hebat bagi penginapan, penerbangan, dan aktiviti.”

Shanghai menduduki tempat pertama dalam senarai Horizon Baru, mengatasi destinasi lain sebagai pilihan utama bagi pelancong Asia keseluruhannya. Metropolis China tersebut diikuti oleh Jeju (Korea Selatan), Paris (Perancis), Nha Trang (Vietnam), dan Fukuoka (Jepun).

Para pelancong yang merancang untuk bercuti di tahun 2025 digalakkan untuk memanfaatkan tawaran hebat di lebih 4.5 juta tempat penginapan percutian, lebih 130,000 laluan penerbangan, dan lebih 300,000 aktiviti liburan yang tersedia di platform Agoda.

Tawaran terkini boleh didapati melalui aplikasi Agoda atau di agoda.com/deals. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button