PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah menyaksikan Majlis Menandatangan Perjanjian Perpindahan Dan Pembangunan Semula Kem Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Unit Army Red Warrior (ARW) Dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) Serta Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) bertempat di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada hari ini.
Perjanjian ini melibatkan perpindahan dan pembangunan semula aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Pusat Latihan bagi Kor Polis Tentera Diraja iaitu PULAPOT, Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemudahan – kemudahan yang berkaitan yang pada asalnya berada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur serta Pembinaan Perumahan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia yang telah diluluskan Jemaah Menteri.
Kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa yang bakal dibina di tapak Mukim Si Rusa, Port Dickson antara lain akan melibatkan pembinaan Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, Dewan Serbaguna, Kemudahan Bilik Latihan, Kemudahan Bilik Penginapan, Padang Kawad, Sirkit Menempuh Halangan, lapang sasar pistol dan lain – lain lagi kemudahan yang akan memberi manfaat kepada PULAPOT dan ARW. Manakala bagi Anggota ATM yang bakal berpindah, sebanyak 213 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas bakal disediakan dengan kemudahan yang lengkap seperti Kompleks Komuniti, Surau, Sekolah Rendah Agama, Tadika, Taska, Rumah BAKAT dan gelanggang sukan.
Di samping itu, pembinaan perumahan SASaR ATM ini merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bagi memberi peluang kepada warga kerja pertahanan yang terdiri daripada anggota ATM, warga veteran ATM dan warga kerja awam di Kementerian Pertahanan untuk memiliki rumah yang selesa di Kuala Lumpur di bawah harga pasaran.
Perumahan SASaR Wardieburn menawarkan 974 unit rumah yang berkeluasan 1,400 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi serta menyediakan kemudahan melebihi apa yang digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) seperti gimnasium, kolam renang dan dua lot parkir bagi setiap rumah. Manakala SASaR Genting Klang pula menawarkan 6,400 unit rumah yang berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi serta mempunyai kemudahan asas yang setara dalam DRMM sebagaimana pembangunan perumahan mampu milik yang lain.
Pembangunan aset ATM dan pembangunan perumahan ini adalah selari dengan matlamat Kerajaan untuk menjaga kebajikan Warga Kerja Pertahanan bertunjangkan Konsep Malaysia Madani yang mana bakal memberi faedah bukan sahaja kepada warga tentera tetapi turut meliputi ahli keluarga dan masyarakat sekitar kem.
Turut hadir bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian. – SM
Artikel berkaitan > MINDEF tingkat keupayaan aset, taraf keselesaan anggota pada Belanjawan 2024