
Pukul pengawal peribadi berpuasa: Majikan dipenjara 6 tahun 10 bulan, denda RM22,000
KLANG: Tindakan seorang ahli perniagaan yang menghina, mencederakan dan mengugut pengawal peribadi kerana berpuasa pada 2021 mengundang padah apabila dia dihukum penjara enam tahun 10 bulan serta didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Majistret, Siti Zubaidah Mahat membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan yang mewakili Chung Chee Yang, 47, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap semua pertuduhan pindaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, manakala bagi kes kedua iaitu mengeluarkan perkataan-perkataan yang melukakan agama Islam di bawah Seksyen 298 kanun yang sama, tertuduh dihukum penjara setahun dan denda RM10,000.
“Bagi kes sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000. Semua hukuman pemenjaraan berjalan secara berasingan,” katanya.
Mahkamah turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.
Susulan itu, dia diperintahkan ke Penjara Kajang serta-merta bermula Jumaat.
Dalam kes ini, pihak pembelaan diwakili peguam, Abdul Hakeem Aiman, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi.
Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa mendatangkan ketakutan jenayah dengan mengugut hendak menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd Azminizam Zulkepli, 48.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan yang mengaitkan Allah dan puasa dengan niat untuk melukakan perasaan penganut agama Islam, yang didengar oleh Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, di sini, antara jam 9.30 hingga 10.30 malam, pada 13 April 2021.
Semasa rayuan untuk mengurangkan hukuman, Abdul Hakeem berkata, anak guamnya merupakan seorang ahli perniagaan dan pemegang saham bagi beberapa syarikat telah menjaga kebajikan pekerja, termasuk ketika sambutan Aidilfitri, serta banyak melakukan kerja amal kepada penduduk di sini kerana dia anak jati Klang.
“Dia menghidap penyakit kencing manis, telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, dan tidak pernah gagal menghadiri setiap prosiding mahkamah.
“Saya mohon mahkamah mengambil kira sumbangan tertuduh kepada masyarakat, termasuk membantu lebih 50 individu ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat serangan wabak Covid-19,” katanya.
Bagaimanapun, Nuruljannah berkata mahkamah perlu menjatuhi hukuman pemenjaraan dan denda maksimum kerana tertuduh mempunyai kes jenayah lampau yang membabitkan kes mencederakan individu.
Menurutnya, mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh, apatah lagi kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami trauma sepanjang hayat selepas diacukan pistol.
“Kesalahan yang dilakukan juga melibatkan sensitiviti agama, jadi sempena hari Jumaat dan bulan Ramadan ini, mahkamah perlu mendengar suara mangsa serta umat Islam yang mahukan keadilan.
“Lebih-lebih lagi kesalahan ini dilakukan pada hari pertama umat Islam berpuasa empat tahun lalu, dan kes ini diselesaikan pada minggu terakhir Ramadan tahun ini,” katanya.